Seorang pegawai polis  memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa terdapat unsur  menghasut dalam kes yang membabitkan Karpal Singh berdasarkan 103  laporan polis yang dibuat terhadap Pengerusi DAP tersebut.
  
Pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,  Asisten Supritendan Suhaimi Muhammad memberitahu, kesemua laporan polis  itu diterima dalam tempoh antara 17 hingga 24 Februari tahun lalu dari  balai-balai polis di Semenanjung Malaysia.
Berdasarkan laporan-laporan itu juga, katanya, siasatan dibuat di  bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan bukannya Seksyen 3 akta  tersebut iaitu kesalahan kecenderungan menghasut.
''Pada pendapat saya, siasatan dibuat berdasarkan laporan yang dibuat  dan pada penilaian awal, tindakan menghasut telah wujud. Oleh itu, saya  merasakan siasatan mengikut Sesyen 4(1)(b) adalah bersesuaian,'' kata  Suhaimi.
Sementara itu, berhubung transkrip yang disifatkan 'tidak boleh  dikatakan lengkap dan betul sepenuhnya', saksi itu menyatakan, dia  melihat pada keseluruhan transkrip.
''Secara keseluruhan, pada pandangan saya, ia (transkrip) adalah  berkenaan Yang Berhormat (YB) Karpal beritahu hendak saman Sultan Perak.
''Jadi sebagai pegawai penyiasat dan individu, perkara tersebut  adalah salah,'' ujarnya.
Suhaimi, 36, yang juga merupakan saksi pendakwaan terakhir berkata  demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Melissa  Mohd. Akhir.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dibicarakan selepas mengaku tidak  bersalah terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut berkaitan  Sultan Perak pada satu sidang akhbar di pejabatnya di Tetuan Karpal  Singh & Co., Jalan Pudu Lama di sini antara pukul 12 dan 12.30  tengah hari, 6 Februari tahun lalu.
Terdahulu ketika disoal balas oleh Karpal, saksi pendakwa ke-19 itu  menyatakan, sekiranya siasatan hendak dibuat mengikut Seksyen 3 akta  yang sama maka Seksyen 3(1)(e) adalah lebih tepat.
Seksyen tersebut menyatakan bahawa 'sesuatu kecenderungan menghasut  bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau  golongan penduduk yang berlainan di Malaysia'.
Pegawai penyiasat tersebut bagaimanapun pada satu ketika dilihat  'keliru' apabila diasak bertubi-tubi oleh Karpal yang mewakili dirinya  sendiri.
Sehingga sampai pada satu tahap, Suhaimi 'bersetuju' dengan cadangan  Karpal bahawa tiada kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh sekiranya  mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
Namun apabila disoal semula oleh Melissa, saksi itu menjelaskan  sekali lagi bahawa dia tidak begitu arif mengenai Perlembagaan  Persekutuan mahupun Undang-Undang Negeri Perak yang sering diulangi  Karpal.
''Sekiranya mengikut Perkara 160 Perlembagaan, tidak berlaku  kesalahan tetapi untuk kes ini, saya tidak dapat pastikan telah berlaku  kesalahan atau tidak,'' katanya.
Kes akan bersambung pada 7 Mei ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman,  Azman Abdullah bagi membolehkan pihak pendakwaan memanggil semula  beberapa saksi bagi melengkapkan kemasukan barang bukti.
Pada tarikh tersebut, pendakwa raya juga dijangka mengakhiri kes  pendakwaan sebelum kedua-dua pihak membentangkan penggulungan hujah  masing-masing.

