Penggunaan lampu pijar akan dihentikan mulai tahun  depan dalam usaha kerajaan menjimatkan penggunaan tenaga selain  mengurangkan penghasilan bahan karbon, kata Menteri Tenaga, Teknologi  Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.Beliau berkata, dengan  pelaksanaan dasar itu penggunaan tenaga elektrik   negara dapat  dijimatkan sebanyak RM336 juta setahun dan pengurangan penghasilan  karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020.
"Penggantian lampu itu  akan dilakukan secara berperingkat selama tempoh tiga tahun yang  bermakna semua jenis lampu pijar yang mengeluarkan cahaya kekuningan itu  tidak akan dijual mulai 2014.
"Pengguna adalah digalakkan  menggunakan lampu yang lebih cekap tenaga seperti lampu kalimantang  kompak, lampu lampu kalimantang silinder dan lampu dioda," katanya  kepada pemberita di sini hari ini.
Peter Chin berkata, pelaksanaan  dasar itu akan dilakukan dalam dua fasa iaitu pertama, menghentikan  secara berperingkat pengeluaran, pengimportan dan penjualan lampu pijar  dengan spesifikasi kuasa 100 Watt dan ke atas dalam tempoh satu tahun  mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2011.
"Kedua, menghentikan  pengeluaran, pengimportan dan penjualan semua jenis lampu pijar dalam  tempoh dua tahun selepas fasa pertama, bermula 1 Januari 2012 hingga 31  Disember 2013," katanya.
Namun, beliau berkata pengecualian  penggunaan lampu pijar untuk beberapa kegunaan khusus akan diberikan  berdasarkan senarai yang diluluskan oleh kementerian.

