PM mahu projek MRT dilaksana Julai tahun depan
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu projek Transit Aliran Massa (MRT) di bawah Greater KL dilaksanakan menjelang Julai tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.
Beliau berkata, laporan teknikal mengenai projek itu, termasuk laluannya, telah selesai dan akan dibentangkan kepada Majlis Ekonomi Negara serta Kabinet untuk diteliti dan dimuktamadkan pada bulan ini.
"Orang ramai akan berpeluang memberi maklum balas selepas Majlis Ekonomi membuat keputusan mengenai laporan teknikal ini," katanya pada sidang akhbar mengenai Greater KL di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Idris berkata, satu lagi projek iaitu rel berkelajuan tinggi akan memasuki fasa kajian awal selama dua bulan, bermula awal tahun depan dan disusuli kajian mendalam selama enam bulan.
Sementara itu, Raja Nong Chik berkata pembinaan MRT akan membabitkan penggunaan tanah Kerajaan Persekutuan bagi mengelak soal pengambilalihan tanah.
"Soal pengambilan tanah sedang dikaji oleh perunding utama. Taburan stesen MRT juga belum dikenal pasti secara muktamad," katanya.
Beliau berkata, antara lokasi yang akan dihubungkan dengan MRT ialah kawasan Kampung Baru yang juga antara fokus dalam Greater KL dan sistem MRT yang bakal dibina itu akan diintegrasikan dengan sistem pengangkutan sedia ada yang lain.
Katanya, rancangan Greater KL turut merangkumi langkah "menghidupkan" semula sungai di Lembah Klang yang tercemar serta usaha menghijaukan Kuala Lumpur dengan menanam 30,000 pokok tahun depan
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.