Selasa, 21 Disember 2010

Konvensyen Panau, Pekung dan Sengkela

JIKA hanya perkara yang sudah dipersetujui sahaja boleh dibincangkan, maka untuk apa diadakan sebuah konvensyen? Itu adalah antara persoalan yang timbul menjelang konvensyen pakatan pembangkang yang akan berlangsung di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, esok.Banyak lagi persoalan lain di sebalik konvensyen kali kedua itu yang menimbulkan keraguan di kalangan orang ramai. Ia termasuk dalam aspek kerjasama yang cuba dipertontonkan kepada orang ramai yang pada hakikatnya dapat melihat betapa pakatan pembangkang sebenarnya tidak sehaluan.

Begitu juga dalam isu kekuatan pakatan pembangkang sedangkan umum mengetahui bukan pakatan itu sahaja yang rapuh. Malah setiap parti pembangkang itu juga berdepan dengan masalah dalaman masing-masing.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL mendapatkan pandangan beberapa tokoh politik dan ahli akademik berhubung isu-isu di sebalik konvensyen pakatan pembangkang itu.

Mereka ialah Ahli Dewan Negara, SENATOR MOHAMAD EZAM MOHD. NOOR; Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), HUAN CHENG GUAN; Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), PROF. MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN dan pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), LEE KUOK TIUNG


UTUSAN: Apa agaknya agenda utama konvensyen pembangkang pada hujung minggu ini?

MOHAMAD EZAM: Saya melihat agenda utamanya hanya bertujuan menutup pekung Datuk Seri Anwar Ibrahim dan masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR). Apatah lagi banyak rahsia peribadi Anwar ketika ini yang semakin terbongkar dan diketahui umum. Jadi konvensyen ini hanya mahu menutup masalah peribadi Anwar dan PKR.

Jadi konvensyen ini untuk menyelamatkan Anwar dan PKR?

Sesuatu yang pasti PKR sudah semakin lemah dan menjadi sebuah parti yang gagal. Lihat sahaja bagaimana gagalnya Kongres PKR yang diadakan baru-baru ini. Bukan imej mereka sahaja yang buruk, malah mereka sendiri turut memburukkan imej negara. Jadi mereka berharap untuk membina imej baru daripada konvensyen ini. Bukan itu sahaja, mereka turut 'mengkudakan' DAP dan Pas untuk membantu memperbaiki imej buruk mereka itu.

Apa kelebihan untuk Pas daripada konvensyen ini?

Saya tidak nampak apa untungnya Pas daripada konvensyen ini. Sebab Anwar sendiri sudah awal-awal menjelaskan bahawa isu yang tidak dipersetujui secara bersama seperti isu negara Islam tidak akan dibincangkan. Setiap orang yang faham politik juga akan membuat kesimpulan bahawa Pas tidak ada kuasa untuk melakukan apa-apa dalam pakatan pembangkang. Tidak ada sebarang matlamat atau manifesto yang akan dicapai oleh Pas.

Jadi apa-apa yang dilaungkan oleh Pas tidak mempunyai kredibiliti lagi sebab parti itu tidak menguasai pakatan pembangkang. Jauh sekali untuk dikatakan sebagai tulang belakang kepada pakatan pembangkang. Sedangkan Pas seharusnya memimpin pakatan pembangkang seperti UMNO dalam Barisan Nasional (BN). Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila parti itu sebenarnya tidak boleh memimpin.

Bagaimana pula dengan DAP?

DAP yang paling untung daripada konvensyen ini sebenarnya sebab parti itu mendapat sokongan ramai orang Melayu daripada PKR dan Pas walaupun sebelum ini parti itu anti-Melayu. Justeru, apa jua perhimpunan yang memperlihatkan orang Melayu bersatu dengan mereka, maka ia akan menguntungkan parti itu.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.