Ahad, 26 Jun 2011

Mangkok sungguh para_jump ! Fw: [sim] PANDANGAN : BERSIH 2.0 wajib berjalan dengan bersih

Anggaplah Perhimpunan BERSIH 2.0 ini seperti Perbarisan dan Perarakan Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke 54 pada tahun 2011 akan datang.

Ini disebabkan 31 Ogos 2011 akan jatuh pada Hari Raya Aidil Fitri samada Hari Raya Pertama atau Hari Raya ke-2. Pada hari itu tidak mungkin sambutan Hari Kemerdekaan akan diadakan olek Kerajaan Malaysia sebab ramai warga kota metropolitan Kuala Lumpur yang akan pulang ke kampung masing-masing kerana merayakan Hari Raya Aidil Fitri. Pegawai, kakitangan Kerajaan atau sektor awam, Tentera dan Polis juga ramai yang akan bercuti sempena menyambut Hari Raya. Apatah lagi bagi pelajar-pelajar sekolah yang sering dan pastinya terbabit dalam pertunjukan dan perbarisan Hari Kemerdekaan. Demikian juga kakitangan di sektor swasta tentunya akan turut pulang ke kampung halaman masing-masing berkumpul bersama sanak saudara. Maka mana mungkin mereka akan berhimpun untuk menyertai raptai perbarisan pada bulan Ramadan dan seterusnya hadir pada hari sebenar pada 31 Ogos 2011.

Mujurlah juga ada pihak yang prihatin menganjurkan perhimpunan BERSIH pada 9 Jul 2011 lebih awal dari tarikh keramat 31 Ogos 2011. Kita boleh jadikan 9 Jul 2011 itu bagi menyambut Hari Kemerdekaan lebih awal dari itu.

Mungkin Kerajaan Malaysia telah terlepas pandang akan perayaan sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut setiap tahun. Maka bolehlah kerajaan memikirkan perkara ini secara lebih serius dan bertindak positif.

Apatah lagi PERKASA, Pemuda UMNO, Petua UMNO, dan PERMAS telah menyatakan kesediaan mereka untuk turut hadir pada Himpunan BERSIH 2.0 ini.secara sukarela.

Jika kerajaan setuju dengan saranan ini, maka keadaan akan lebih terkawal dan perhimpunan dan perarakan BERSIH 2.0 yang akan berlangsung dalam keadaan harmoni dan bertambah meriah.

Maka kerajaan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi menghimpunkan rakyat dalam sambutan Hari Kemerdekaan yang saban tahun memakan belanja ratusan juta RM. Ini kerana rakyat dan peserta akan hadir menggunakan perbelanjaan sendiri dan tidak perlu disediakan bajet untuk menampung makanan, pakaian dan pengangkutan bagi membawa peserta berhimpun di Dataran Merdeka sebagai lazimnya setiap tahun. Dengan sendirinya penganjur BERSIH 2.0 juga boleh menyerahkan memorandum kepada DYMM Yang DiPertuan Agung di Pentas Utama yang dijangka akan turut hadir pada sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka. Maka peserta-peserta tidak perlu lagi berarak dari Dataran Merdeka ke Istana Negara.


Maka Perhimpunan anjuran BERSIH itu pastinya gagal jika tujuan penganjur untuk mengadakan keadaan huru hara di bandaraya sebagaimana dakwaan kerajaan dan lain-lain NGO dan GRO itu. Pastinya pasukan keselamatan akan dapat mengawal keadaan malahan perhimpunan sedemikian akan berlangusng dalam keadaan harmoni dan meriah dengan kehadiran rakyat berbilang kaum.

Peniaga-peniaga dan pemandu-pemandu teksi di sekitar berlangsungnya perhimpunan sedemikian akan memberikan rezeki yang lebih kepada mereka pada hari tersebut jauh berbeza dari sangkaan awal mereka yang berkemungkinan akan mengalami kerugian jika perhimpunan BERSIH 2.0 yang dikatakan perhimpunan haram itu diteruskan juga.

Diharap semua pihak akan berfikiran positif dalam hal ini.

Sekian,

para_jump101