Isnin, 30 April 2012

Nizar Hendak Menang PRU Jangan Cakap Bohong-Ahmad Zahid

Published on Apr 29, 2012 by roslayraffie

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tuduhan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kononnya Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan tentera berhubung pilihan raya, sebagai mimpi di siang hari.

Beliau berkata tuduhan itu adalah tidak berasas dan satu pembohongan serta tanpa fakta. "Apa yang didakwa Datuk Seri Nizar adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pun tak pernah memanggil mana-mana panglima tentera laut, darat, udara dan Panglima Angkatan Tentera kononnya meminta supaya tentera ambil alih....tak pernah timbul langsung...," katanya

Beliau mengulas tuduhan Mohammad Nizar dalam ceramahnya pada malam Isnin lepas kononnya perdana menteri mengadakan pertemuan dengan semua panglima angkatan tentera dan meminta mereka melakukan sesuatu jika Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang. "Kalau hendak menang pilihan raya pun, bukan dengan cara berbohong...saya ingatkan pengundi beliau dan pengundi negeri Perak supaya jangan percaya pada beliau (Nizar) ini kerana beliau bercakap tanpa fakta," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan Mohammad Nizar mengakui beliau tidak mempunyai bukti ada pertemuan antara Perdana Menteri dan pegawai tertinggi ATM untuk membincangkan isu politik, sebaliknya hanya mendengar khabar angin.