Ahad, 1 Julai 2012

40 NGO Perak Ikrar Pertahan SAR Taman Desa Aman

Kira-kira 40 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyertai perhimpunan aman menyokong pembinaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Taman Desa Aman yang mencetuskan kontroversi selepas dibantah oleh pemimpin parti pembangkang terutamanya Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye

Berkumpul seawal jam 8.30 pagi, lebih 200 ahli NGO dan penduduk tempatan meluahkan rasa kesal di atas campurtangan pihak pembangkang yang sebelum ini cuba menggagalkan pembinaan sekolah itu yang mula dibina awal Mei lalu.

Tindakan pembangkang yang diketuai oleh Boon Chye itu dianggap melanggar kontrak sosial dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Campurtangan pihak pembangkang atas kepentingan politik dikhuatiri akan mewujudkan perasaan tidak senang antara umat Islam dan bukan Islam yang seterusnya boleh menjurus kepada krisis perkauman seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Antara NGO yang menyertai perhimpunan aman itu ialah Persatuan Speda Klasik, Persatuan Ketua-Ketua Kampung DUN Sungai Rapat; Persatuan Kebajikan Wanita (KEKWA) RPT Pengkalan Pegoh Seberang; Persatuan Penjaja Melayu Perkasa Negeri Perak, SAR Lahat Baru dan Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia cawangan Perak.

Sepanduk tertera ungkapan ‘SAR Wajib Dipertahankan’, ‘Mujur Lalu Melintang Patah, SAR Tetap Diteruskan’; ‘Kami Menyokong Pembinaan SAR’; ‘Ayuh Kita Bersatu Menentang Musuh Agama’ dan ‘Asas Pendidikan Agama Bermula Di Sekolah Agama’ jelas menunjukkan pendirian NGO yang akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan SAR Taman Desa Aman.

Ia juga menjadi siri kebangkitan pertama bagi umat Melayu mempertahankan bangsa dan agama Islam daripada terus dipersendakan oleh pihak pembangkang kerana projek SAR Taman Desa Aman telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negeri.

Jika pembangkang terus membangkitkan isu SAR Taman Desa Aman, pihak penganjur memaklukan bahawa satu perhimpunan yang lebih besar akan diadakan di peringkat negeri Perak atau Malaysia.

Lebih menyedihkan apabila ada pemimpin Islam sanggup bersekongkol untuk menafikan hak murid-murid SAR Taman Desa Aman yang selama ini belajar di bawah khemah dan dewan serbaguna untuk menikmati suasana pembelajaran yang lebih selesa di sekolah baru.

Di atas rasa hormat-menghormati, masyarakat bukan Islam di Perak khususnya dan Malaysia amnya bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing dan mereka juga seharusnya menghormati agama Islam.

Ketua masyarakat Taman Desa Aman, Nawawi Che Aik dalam ucapannya di hadapan peserta perhimpunan berkata, umat Islam perlu bersatu hati untuk memastikan pembinaan sekolah itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Tegasnya, akibat gila dan tamak kuasa, pembinaan SAR Taman Desa Aman dipolitikkan hingga mengundang perasaan kurang senang antara kaum.

Sementara itu, satu memorandum akan dihantar kepada Sultan Perak bagi menyatakan pendirian 40 NGO itu berhubung isu SAR Taman Desa Aman.

Memorandum tiga muka surat itu yang dibacakan oleh wakil Persatuan Ketua-Ketua Kampung DUN Sungai Rapat, Syukri Hashim kemudiannya diserahkan kepada Pengerusinya, Alang Abdul Rahman untuk diserahkan kepada Sultan Perak.

Perhimpunan aman itu kemudiannya bersurai sekitar jam 10.30 pagi dan kelihatan sebahagian ahli NGO berarak di kawasan perumahan berdekatan sambil membawa sepanduk sebagai tanda sokongan terhadap pembinaan SAR Taman Desa Aman.

Tiada ulasan:

Catat Komen