Selasa, 3 September 2013

TAHNIAH TINDAKAN DI AMBIL JUGA



Polis Kuala Lumpur telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden mengibarkan bendera rekaan pihak tidak bertanggungjawab pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh memberitahu Bernama hari ini bahawa pasukan khas itu akan menyiasat insiden itu daripada pelbagai sudut dan telah membuka kertas siasatan berhubung insiden itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata pihaknya akan memanggil kumpulan yang terbabit mengibarkan bendera rekaan itu untuk membantu siasatan.

Beliau berkata pihaknya masih belum mengenal pasti individu yang merampas bendera alternatif itu daripada kumpulan berkenaan seperti yang dilihat dalam klip video yang dimuat naik dalam laman YouTube.

Zainuddin berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Sementara itu, tiga buah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan aktivis politik Hishamuddin Rais berhubung insiden tersebut.

Dua NGO tersebut iaitu Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIM) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Jalan Kasipillay di sini.

Manakala Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. - BERNAMA



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130902/dn_31/Kibar-Sang-Saka-Malaya-Polis-tubuh-pasukan-khas#ixzz2dkrMODdD
© Utusan Melayu (M) Bhd