Isnin, 18 November 2013

Apa susah, minta lah rumah baru dari kerajaan kebajikan Pas Pis Pus!

Kira-kira 10 keluarga yang tinggal di pinggir tebing Sungai Bukit Abal, dekat sini, bimbang dengan tahap keselamatan mereka apabila diancam tebing runtuh terutama sepanjang musim banjir pada penghujung tahun ini.

Biarpun benteng batu telah dibina di tebing tersebut namun ia tidak memberikan sebarang kesan kerana arus air yang deras setiap kali menjelang musim tersebut.

Seorang penduduk, Zabidah Mat, 66, berkata, kesan banjir tahun lalu turut menyebabkan tebing terus terhakis berikutan arus air yang deras malah bakul batu yang dibina turut mendap ditelan bumi.

Katanya, tahun ini kebimbangan yang sama menghantui mereka apabila runtuhan tebing menyebabkan jarak rumah mereka dengan laluan air semakin hampir.

"Nak pindahkan rumah ke kawasan yang lebih selamat, kami tidak berkemampuan apa lagi untuk membina benteng sendiri yang belum tentu kukuh untuk bertahan dengan arus deras musim banjir.

"Kami hanya mampu bertahan dan sentiasa berdoa agar tidak ditimpa musibah setiap kali menjelangnya musim banjir," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Tuan Ismail Tuan Merah, 63, berkata, sebelum ini beliau pernah mengeluarkan perbelanjaan sendiri berjumlah RM6,000 untuk membuat benteng bagi mengelakkan kediamannya runtuh dan dihayutkan arus sungai berkenaan.

Katanya, namun usaha tersebut sia-sia kerana arus deras telah meruntuhkan beteng tersebut pada tahun lalu.

"Keadaan sungai yang berliku menyebabkan arus deras menerjah tebing. Keadaan ini memang membimbangkan kami. Kami berterima kasih kepada pihak yang berwajib yang membantu menyelesaikan masalah ini. Apa yang kami boleh buat apabila keadaan yang sama sentiasa berulang.

"Hanya satu kaedah yang difikirkan boleh menyelesaikan masalah ini iaitu membangunkan semula struktur sungai menjadi lurus ke muara," katanya.

Abdul Rahman Zakaria, 59, pula berkata, penduduk terpaksa meletakkan guni pasir sebagai benteng sementara bagi mengelakkan hakisan dan kebanyakannya khuatir rumah mereka boleh hanyut pada bila-bila masa.

Tambahnya, rumah yang didiami keluarganya sejak 40 tahun lalu benar-benar terancam kerana hakisan berlaku hanya kira-kira 0.2 meter dari kediamannya terutama pada bahagian dapur.

"Penduduk keresahan setiap kali hujan lebat kerana ia menjadi punca utama arus deras yang menghakis tebing.

"Kami juga berasa tidak selamat untuk berada di dalam rumah sendiri," katanya.