Selasa, 5 November 2013

Sungai Limau: Sokongan pengundi Cina kepada BN meningkat - PM

Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (SUN) Sungai Limau, Kedah semalam secara sepintas lalu menunjukkan terdapat peningkatan sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, keputusan dua peti undi yang bilangan pengundi dari kaum Cina didapati lebih ramai menunjukkan bahawa sokongan mereka kini memihak kepada calon BN.

"Kalau kita lihat sepintas lalu, memang ada peningkatan, tapi kita perlu membuat kajian lebih mendalam mengenainya," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di PICC di sini hari ini.

Keputusan PRK semalam menyaksikan Pas mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi, apabila calonnya, Mohd. Azam Abd. Samat, memperoleh 12,069 undi berbanding calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, yang mendapat 10,985 undi.

Najib berkata, walaupun tewas, prestasi BN boleh dikatakan menggalakkan kerana ia berjaya mengurangkan majoriti Pas, dan kawasan itu pula merupakan kubu kuat parti itu.

"Kalau dahulu majoriti kita kalah di tempat ini ialah 2,774 dan kini berkurangan kepada 1,084 undi, ini menunjukkan ada trend sokongan ke arah BN," kata Najib.

"Kita tahu ini kubu kuat Pas sebab kawasan ini sudah lima kali Pilihan Raya Umum kita tidak menang, namun PRK kali ini kita berjaya menembusi 10 pusat daerah mengundi berbanding Pas sembilan," katanya.

Najib berkata, beliau percaya dengan kemenangan Pas, parti pembangkang pasti tidak akan menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti lazimnya yang sering dilakukan mereka apabila tewas pilihan raya.

"Ini menunjukkan demokarasi di Malaysia segar dan telus dan perjalanan serta keputusan PRK ini tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan peringkat nasional yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; peringkat negeri yang diterajui Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir serta peringkat bahagian diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Terima kasih juga kepada wakil BN negeri, sayap wanita, pemuda dan puteri. Ini adalah kerjasama berpasukan yang baik antara peringkat negeri dan bahagian, mereka bekerja keras dan menunjukkan prestasi yang baik di dalam BN," katanya. - BERNAMA