Sabtu, 3 Januari 2015

Dap Cuba Raih Politik Murahan Ketika Rakyat Dalam Kesusahan – MB Perak

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Dap cuba meraih politik murahan apabila menuduh beliau sombong dan tidak berhati perut berikutan dakwaan Perak menolak sumbangan RM100,000 untuk mangsa banjir daripada kerajaan Selangor.

Menyifatkan tuduhan dibuat setiausaha politik kepada pengerusi Dap Perak, Chong Ze Min itu sebagai sangat biadab serta kurang ajar, Zambry berkata parti itu cuba mengambil kesempatan ketika rakyat ditimpa kesulitan kerana musibah banjir.

“Ini jenis ahli politik yang bankrap, dalam kepala mereka terlalu banyak politik, apa sahaja hendak dipolitikkan. Rakyat sedang susah, menderita, mereka tuduh saya sombong, tidak ada perasaan.

“Sudah dua minggu kami berulang-alik dari Hulu Perak hingga ke Hilir Perak untuk meninjau keadaan banjir dan melihat masalah rakyat,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kayan, Manjung hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah menolak sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membantu rakyat di Perak.

Sehubungan itu, Zambry mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali kerana mengesahkan bahawa sumbangan itu telah diterima oleh kerajaan negeri Perak.

“Terima kasih kepada Azmin kerana membetulkan kenyataan yang tidak sewajarnya sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata tumpuan sekarang sepatutnya kepada usaha membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir, bukannya mencari kepentingan politik murahan.

Sementara itu, Penasihat Gerakan Perak Tan Sri Chang Ko Youn berkata beliau mendapati cara Dap mengeksploitasi isu banjir untuk kepentingan politik sebagai amat dahsyat.

“Sebenarnya kerajaan Selangor mahu menyerahkan cek itu kepada Menteri Besar Perak secara peribadi yang agak sukar untuk dilakukan pada ketika ini ekoran komitmen tinggi beliau untuk turun padang dan beliau (Zambry) telah bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak beberapa minggu lepas untuk membantu mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan.

Malah, katanya Perak telah meminta kerajaan Selangor menyerahkan sumbangan itu kepada mana-mana NGO termasuk Yayasan Bina Upaya tetapi Selangor enggan berbuat demikian.

“Mereka (kerajaan Selangor) lebih berminat untuk mengadakan majlis,” katanya.

Chang berkata amat mengecewakan dan meloyakan melihat Dap lebih berminat untuk mencari publisiti dan mengeksploitasi mangsa banjir demi kepentingan politik.

“Mereka tidak berhati perut, tiada perasaan dan tidak munasabah. Rakyat Malaysia mesti menolak ahli politik yang lebih mementingkan keuntungan politik daripada kebajikan mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Dap agar menghentikan kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu dan mengambil tindakan terhadap Dap negeri atas perbuatan eksploitasi dan dahsyat itu.