Posted: 10 Jun 2016 09:25 AM PDT
KUALA KANGSAR, 11 Jun – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pendekatan berkempen yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar adalah satu pendekatan yang terbaik dan mengikut ajaran Islam.
Jelasnya, walaupun sibuk berkempen bagi meraih undi tetapi cara Islam itu haruslah dipatuhi tambahan pula dalam bulan Ramadhan ini
"Dalam Islam ada Ramadhan. Kita tahu bulan Ramadhan adalah bulan di mana kita boleh melipat gandakan kebaikan. Manusia tidak boleh mengubah pendekatan Ramadhan ini.
"Jika pembangkang fikir mereka boleh ubah pendekatan Ramadhan di PRK Kuala Kangsar, boleh maki orang dan sebagainya maknanya mereka silap. Jika mereka bercakap pasal Islam dan dalam masa yang sama memaki orang itu bukan cara Islam.
"Sebab itu bagi saya pendekatan BN adalah yang terbaik. Itulah pendekatan Islam. Cara sederhana. Biar orang nak maki… yang akan tentukan adalah Allah. Manusia boleh buat apa sahaja," ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambahnya lagi, biarlah ribuan fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang namun BN akan tetap meneruskan agenda menceritakan kebenaran dan kebaikan.
"Mereka perlu tahu fitnah itu dilarang sama sekali tidak kira di bulan puasa atau tidak.
"Biarlah mereka hendak fitnah tapi kita tetap dengan cara kita menceritakan kebenaran dan kebaikan dan sentiasa memikirkan kebaikan rakyat.
"Sebagai contoh, baru-baru ini Perdana Menteri telah umumkan semua kakitangan kerajaan mendapat RM500. Inilah kebaikan dan di Kuala Kangsar ini pula Perdana Menteri umumkan semua pekebun-pekebun kecil dan penoreh getah mendapat jumlah yang sama.
"Walaupun kerajaan berada dalam keadaan ekonomi yang terhad tetapi negara masih mampu untuk memberikan keutamaan kepada rakyat ini kerana negara sentiasa memikirkan kebaikan untuk rakyat," katanya lagi. – MediaUMNO