Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini mengecam tindakan Timbalan Pengerusi PAN Perak Nizar Jamaluddin yang didakwanya berterusan membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan Barisan Nasional
Menyifatkan Mohammad Nizar sebagai 'penipu bersiri', Zambry berkata bekas menteri besar Perak itu dilihat tanpa henti memfitnah dan membangkitkan isu tertentu walaupun telah diperjelaskan kerajaan sebelum ini.
"Saya amati perangai dia tidak habis-habis buat serangan. Bayangkan bulan Ramadan pun dia nak menipu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan jentera pilihanraya Kuala Kangsar di sini hari ini.
Zamry berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Mohammad Nizar yang mengatakan Zambry memberi tanah kepada kroni tertentu dalam ceramah umum parti itu di Kampung Sayong Lembah, di sini malam tadi
Nizar yang dipetik dalam media sosial turut berkata "Allah mahu orang Kuala Kangsar 'mengajar' (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar".
Mengenai dakwaan kerajaan negeri memberikan tanah seluas 45,324 hektar kepada pihak tertentu, Zambry berkata perkara itu telahpun diperjelaskan sebelum ini termasuk pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak.
"Pembangkang ini telah kekeringan dan habis modal, sebab itu akan buat pembohongan," katanya.
Zambry meminta para pengundi di Parlimen Kuala Kangsar supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan pembangkang itu.