KUALA KANGSAR, 12 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap anak-anak muda menolak politik kebencian, perpecahan, menyerang peribadi orang, dan politik-politik yang rakus semata-mata hanya mendapat undi ketika musim pilihan raya seperti apa yang terjadi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar ini.
Jelasnya, mereka yang berpolitik sebegini sebenarnya tidak kisah nasib rakyat tetapi sanggup melakukan apa sahaja sepanjang tempoh berkemen.
"Mereka ini tidak kisah nasib orang Kuala tapi dalam tempoh kempen sanggup buat apa sahaja. Namun akhirnya yang akan menerima padah atau manfaat adalah rakyat di sini lepas PRK. Jadi rakyat harus pilih siapa yang paling layak untuk dijadikan pemimpin mereka.
"Saya bersyukur dua daripada lima daripada agenda calon kita telah tertunai, ini asas yang baik kalau beliau diberi peluang untuk memimpin di Kuala," ujarnya dalam sidang media selepas bertemu dengan penduduk di pusat mengundi Kampung Masjid.
Lima agenda calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid adalah menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUiSAS) kepada universiti awam, menyegerakan kelulusan projek jambatan Manong, memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar serta membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telahpun meluluskan dua daripada agenda tersebut iaitu meluluskan peruntukan sebanyak RM43.5 juta bagi pembinaan Jambatan Manong merentasi Sungai Perak serta menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) yang diberikan status universiti.
Ketika ditanya berkaitan tuduhan pembangkang bahawa apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu adalah satu gula-gula dalam pilihan raya jelas Hishamuddin itu adalah tuduhan biasa pembangkang.
"Mereka tidak ada modal lain. Itu sahajalah alasan yang mereka ada untuk semai kebencian di hati rakyat. Yang penting sebenarnya apa yang diumumkan semalam adalah agenda arwah Datuk Wan Khair-il.
"Sekarang ini hasrat dan perjuangan itu dibawa oleh calon yang juga merupakan isteri arwah. Jadi mana yang boleh diumumkan kita umumkan sama juga macam di PRN Sarawak, di Sungai Besar atau di Sembrong di tempat saya. Kalau ada projek yang boleh diumumkan kita umumkanlah," katanya.
Tambah beliau, perkara sebegini telah banyak kali dilalui dan beliau percaya ianya tidak akan menjejaskan persepsi rakyat kepada BN.
"Apa yang diumumkan adalah untuk kepentingan semua rakyat di sini termasuk mereka yang tidak undi BN. Jadi tidak timbul kita beri gula-gula kepada rakyat," katanya lagi. – MediaUMNO