Kenyataan MB Johor
(Berhubung isu Bangsa Johor oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad)
Saya ingin merujuk kepada pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kebangkitan nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johorsemalam.
Saya mempunyai pendirian yang berlainan dan menyanggah dengan tegas kenyataan tersebut. Pendirian saya adalah selari dengan pandangan DYMM Sultan Johor berhubung perkara ini.
Pertama, kebangkitan nasionalisme Johor, dalam apa cara sekalipun, tidak bertujuan untuk menjurus kepada perpisahan daripada Persekutuan Malaysia.
Johor adalah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia dan akan terus mendukung hubungan eratnya dengan Kerajaan persekutuan.
Namun, hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan mesti diterjemahkan selayaknya atas semangat sebuah persekutuan dan bukannya sebagai sebuah negara satuan atau ‘unitary’.
Kedua, Bangsa Johor adalah satu identiti politik Johor yang menjurus kepada perpaduan dan sikap muhibah. Ia menyeru kepada muafakat pelbagai kaum. Malah ia menjadi matan yang menyatukan segala kerencaman bangsa, agama dan keturunan di bawah satu identiti kenegerian yang bersandarkan kepada keharmonian, persefahaman dan toleransi.
Ketiga, Bangsa Johor yang bersatu padu, maju,harmoni dan berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja akan menjadikan Johor dan masyarakatnya lebih baik. Malah ia akan menjadikan Malaysia dan masyarakatnya juga lebih baik. Ia dengan sendirinya akan mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan. Negeri-negeri yang kuat, dengan masyarakat yang kuat akan membentuk persekutuan yang kuat.
Keempat, nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor adalah identiti unik yang telah lama sebati dengan Johor dan amalan masyarakatnya. Seawal 1920-an apabila DYMM Almarhum Sultan Sir Ibrahim memperkenal dan menggunakan istilah tersebut. Ini bermakna, penggunaan Bangsa Johor sudah wujud lebih awal dari kemerdekaan dan kewujudan Malaysia.
Kelima, terimalah kebangkitan nasionalisme Johor dan Bangsa Johor ini sebagai sebahagian dari kepelbagaian dan kerencaman Malaysia. Malaysia mempunyai pelbagai cerita dan pelbagai cerita terbaik. Kemajmukan inilah yang menjadikan Malaysia kuat dan istimewa.
Saya menyeru semua pihak untuk meneladani kebangkitan Johor dan nasionalismenya. Ia harus menjadi pacuan moral untuk kita lebih menghargai kepelbagaian berbangsa dan bernegara secaraprogresif dan sihat.
Kepada Tun Dr Mahathir, saya beranggapan tidak perlulah untuk beliau bercakap dan mengulas tentang perkara yang bukan menjadi bidang kearifannya. Sesuatu yang beliau tidak dapat hargai atau jiwai.
Kami di Johor akan terus berbangga memelihara dan berusaha mempertahankan segala warisan dan konsep yang boleh menjayakan dan menyatukan segenap rakyat negeri ini.
Mohamed Khaled Nordin
Menteri Besar Johor
25 Ogos 2016