BAGAN SERAI, 17 Sept – Orang ramai yang ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu sedar bahawa mereka akan hanya dijadikan batu loncatan diguna untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata tidak dapat dinafikan matlamat PPBM adalah untuk kepentingan peribadi dan bukan membela nasib rakyat.
"Perjuangan PPBM ini hanya untuk mengaibkan perdana menteri; memastikan beliau (Najib) turun daripada jawatan… Kalau Najib turun sebagai Presiden UMMO, adakah PPBM akan terkubur?.
"Kalau begitu Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin kena berterus terang dengan mereka yang sedang giat diminta untuk menjadi ahli.
"Saya rasa mereka kena berterus-terang bahawa perjuangan mereka hanyalah perjuangan peribadi untuk melihat Najib diturunkan, tidak kurang dan tidak lebih daripada itu," katanya selepas merasmikan persidangan serentak sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Larut di sini pada Sabtu.
Beliau diminta mengulas kenyataan Muhyiddin baru-baru ini yang bersetuju untuk meletakkan agenda pembebasan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara untuk bersama dalam pakatan pembangkang.
Abdul Rahman yang juga Pengarah Strategik dan Komunikasi Barisan Nasional menarik perhatian apabila berkata mereka yang menjadi ahli PPBM akan terbiar begitu sahaja selepas matlamat jahat parti itu untuk menjatuhkan Najib tercapai.
Selain itu, Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata walaupun pelbagai taktik jahat diguna untuk menjatuhkan Najib, namun anggota UMNO di semua peringkat tidak sedikitpun terpedaya.
Sebaliknya, anggota UMNO terus mengiktiraf Najib sebagai perdana menteri yang mempunyai visi serta misi jangka panjang untuk memajukan negara.
"Kita bukan hanya ada perdana menteri yang duduk di pejabat tapi yang sering memikirkan strategi untuk majukan negara dari segi ekonomi dan politik.
"Saya rasa orang dah jemu dengan taktik yang digunakan Dr Mahathir dan Muhyiddin," katanya.