Isnin, 31 Oktober 2016

Dulu lain, sekarang lain tok wan oi!

Tuduhan seorang pemimpin lama terhadap pimpinan Kerajaan yang lari daripada perjuangannya dahulu dilihat alasan menarik orang untuk masuk ke parti baharunya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perjuangan dahulu jelas untuk menuntut kemerdekaan sekali gus berbeza dengan perjuangan kini demi kemajuan negara.

"Sebagai seorang manusia hidup ini perlu ada tujuan bagi memberi makna dalam hidup kita. Dalam erti kata lain, hidup ini adalah sebuah perjuangan.

"Sepanjang 40 tahun perkhidmatan saya dalam kerajaan, saya mempunyai perjuangan saya tersendiri iaitu untuk memajukan agama, bangsa dan negara saya.

"Namun sejak akhir-akhir ini, ada seorang pemimpin lama mula menghasut rakyat, mengatur langkah dari dalam dan luar negara untuk menuduh saya dengan perkara-perkara yang sama beliau dituduh semasa beliau berkuasa," katanya dalam satu siaran radio pada Jumaat.


Dalam pada itu kata Datuk Seri Najib, banyak beza antara perjuangan dahulu dan sekarang.

"Beliau menuduh perjuangan parti saya sudah lari daripada perjuangan beliau dahulu sebagai alasan untuk menarik orang masuk ke dalam parti beliau dan memecah belahkan orang Melayu.

"Memang benar perjuangan dahulu dan sekarang berbeza. Dahulu beliau yang berumur 91 tahun ini memperjuangkan kemerdekaan, sekarang saya memperjuangkan kemajuan negara," jelasnya.

Tegasnya, pelbagai usaha yang dilakukannya selama ini adalah perjuangan kemajuan untuk negara.

"Apakah usaha kami membina infrastruktur seperti MRT, BRT, LRT, Lebuhraya Pan Borneo, Rapid Pengerang, Kota Iskandar untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat bukan satu perjuangan?

"Apakah penyediaan bantuan kerajaan seperti Teraju, Tekun, bantuan-bantuan 1Malaysia, PR1MA, e-kasih, UTC, RTC untuk kemudahan rakyat bukan satu perjuangan?

"Apakah usaha memajukan sukan sehingga mencapai keputusan paling cemerlang dalam sejarah bukan satu perjuangan," ujarnya.

Tambah Datuk Seri Najib, pemimpin itu juga kini sedang berjuang untuk menjatuhkan kerajaan sehingga sanggup bersekongkol dengan pemimpin parti chauvanis.

"Pemimpin parti itu juga sudah didakwa melakukan rasuah. Siapakah yang sebenarnya tersasar daripada perjuangan? Biarlah apa mereka kata, saya dan jemaah menteri akan terus komited dalam perjuangan kami memartabatkan agama, bangsa dan negara," katanya.