Jumaat, 5 Mei 2017

"Mengaku Rafizi Terima Jutaan Ringgit, INVOKE Rafizi Perlu Disiasat"



Pihak berkuasa perlu menyiasat Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas dia diakui oleh pemimpin di dalam PKR sendiri bahawa menerima jutaan ringgit dana daripada orang awam tetapi ia seperti disalahgunakan.

Saranan itu diberikan oleh Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao selepas Ketua Biro Hal Ehwal Guaman PKR, Latheefa Koya mempersoalkan dana jutaan ringgit yang diterima oleh Rafizi tetapi digunakan dengan cara yang salah.

Beliau mempersoalkan reka bentuk tiga logo yang disenaraipendek oleh Pakatan Harapan (PH) untuk dipilih tetapi ketiga-tiganya tidak mencerminkan identiti pembangkang malahan ia hanyalah seperti rekaan grafik murahan dan buruk.

"Latheefa Koya mengesahkan Rafizi Ramli terima jutaan ringgit dari awam, mohon kerajaan dan pihak berkuasa siasat INVOKE dengan segera," kata Ramesh dalam akaun Twitternya, semalam. 

INVOKE merupakan satu badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh Rafizi kononnya untuk menjalankan penyelidikan untuk mencari modal membuat tuduhan palsu ke atas Barisan Nasional (BN) dan kerajaan. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Ramesh menyifatkan Latheefa sudah mula muak dengan permainan politik di dalam PKR dan beliau mendedahkan apa yang dilakukan oleh Rafizi terutamanya dalam soal mendapatkan dana politik dari sumber awam.

"Dia sendiri mengaku bahawa YB Pandan ada ambil wang berjuta dari sumber awam, kita mahu tahulah sumber ini dari mana? Berapa banyak dan ke mana ia digunakan? Jika wang awam adakah duit dari Kerajaan Negeri Selangor atau wang derma dari rakyat.

"Mungkin Latheefa sudah tidak tahan dengan perangai Rafizi membuatkan dia memperkatakan sebegitu dan tidak menyedari bahawa dia sendiri sudah membuka pekung PKR," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Latheefa dalam kenyataan menyifatkan rekaan logo berkenaan begitu teruk jika ia mahu digunakan untuk sebuah parti politik dan untuk diletakkan di atas keras undi.

"Kamu sudah kumpul berjuta dana dari orang awam tapi kamu tergamak tampil dengan rekaan logo yang sebegini teruk.

"Meletakkan logo seperti ini untuk diundi oleh orang ramai, ia adalah memalukan," kata Latheefa. 

Dek kerana kenyataan itu, kini Latheefa dan Rafizi kini sedang bertelagah sesama sendiri sampai ke dalam group aplikasi sosial sesama mereka.

"Rakyat kena lihat, kalau pasal hendak pilih logo pun sudah gaduh seperti ini, bagaimana mereka mahu pilih calon jadi Perdana Menteri.

"Pembangkang bila tak ada kuasa mahukan kuasa, bila sudah ada kuasa mereka akan bertelagah sesama sendiri untuk berebut jawatan pula," kata Ramesh. 

5 Mei 2017
4.34 petang