Pertemuan positif dan mesra antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja satu penghormatan tinggi kerajaan Amerika kepada Najib dan Malaysia, malah menyerlahkan pembohongan pembangkang di negara ini.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pertemuan yang berlangsung pada Selasa di Rumah Putih atas undangan Trump itu, membuka pembohongan dan fitnah terhadap Najib oleh pembangkang selama ini termasuk oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Pertemuan Trump dengan Najib membuka pembohongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta pembangkang yang satu ketika dahulu mengatakan Najib akan ditangkap jika ke Amerika Syarikat, malah pesawat pun tidak dibenarkan melalui ruang udara negara itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) juga tidak menjadi persoalan dalam pertemuan itu sepertimana yang digembar-gemburkan pihak pembangkang, kata Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.