Rabu, 20 September 2017

RCI Forex BNM Selesai Anwar Masuk Hospital





Semalam RCI kes FOREX selesai, sebaik sahaja diumumkan, Anwar Ibrahim pula masuk hospital. Mengikut laporan akhbar Anwar mengadu sakit bahu. Sakit bahu biasanya berkait dengan jantung tetapi menurut laporan Anwar perlu menjalani rawatan fisioterapi sahaja.  Tak mungkin rawatan fisioterapi sampai kena masuk wad. Jika benar masuk wad Anwar telah membazirkan wang GST yang sepatutnya digunakan untuk orang miskin.

Agaknya Anwar kena sampok sawan akibat daripada pekong yang dibongkar olehnya beliau sendiri mengenai kerugian BNM salam pasaran spekulasi  tukar matawang asing? 

Rakyat tidak akan lupa bagaimana Anwar dan Dap mengadakan FORUM KHAS DI PULAU PINANG untuk menjatuhkan kerajaan dalam PRU 13 yang lalu.

Dalam Forum tersebut sudah tentulah Anwar balun Najib dan Mahathir kaw kaw.  Nak tahu kena lah cari orang yang hadir ke forum tersebut. Rasanya ramai pakar-pakar kewangan hadir dan mungkin juga pegawai BNM pun ada untuk mendapat maklumat.

Menyedari tentang peri pentingnya dan tuduhan yang sebut oleh pembangkang, menyebabkan kerajaan bercadang untuk mengadakan siasatan awam atau RCI.

Maka pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat mula gelabah, risau dan mula menangkis usul kerajaan untuk menyiasat. Kata akhbar elektronik PH menulis  , Kenapa Ungkit Wang Yang Sudah Hilang? Utama Wang Yang Akan Hilang – Bersatu

Mahathir pula lain ceritanya, Mahathir tidak kalut seperti Dap dan Pkr kerana ketika itu Mahathir masih berada dalam Umno dan beliau dari awal hingga akhir dia kata DIA TAK TAHU.

Semalam juga Dato Sri Utama Mohamed Nor  Yakcop melepaskan jawatan dalam Khazanah Nasional Berhad kerana mengaku bertanggung jawab atas kerugian Forex BNM.

Sekarang yang belum mengaku terlibat ialah Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamed.

Apa pun kita tunggu laporan hasil siasatan awam RCI yang bakal menjelma. 






Mengimbas kembali kerugian besar forex Bank Negara


Oleh Ho Kay Tat

SINGAPURA (24 Mac 2017): Kerajaan akan mula menyiasat sama ada terdapat sebarang salah laku dalam kerugian yang besar dalam pertukaran asing yang dialami oleh Bank Negara kira-kira 25 tahun lalu. Ramai orang hari ini mungkin tidak mengingati apa yang telah berlaku, sementara yang lain mungkin tidak tahu mengenainya sehingga ia menjadi berita semula baru-baru ini apabila kerajaan menyiasat perkata ini di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saya merupakan seorang wartawan dengan Reuters pada masa itu dan telah mengupas isu kerugian yang timbul ketika bank negara mengeluarkan laporan tahunannya untuk 1992 dan 1993 pada bulan Mac 1993 dan Mac 1994. Saya ingat bahawa kerugian itu mula-mulanye membingungkan saya dan yang lain kerana para pegawai bank tidak tampil untuk bercakap tentang perkara itu pada sidang akhbar dan tidak ada maklumat yang terkandung di dalam siaran akhbar. Walau bagaimanapun, ia didedahkan dalam beberapa halaman terakhir laporan 1992 mengenai penyata kewangan bank itu, yang biasanya tidak menarik perhatian sesiapa, kerana pemberita akan memberi tumpuan kepada bahagian-bahagian yang lebih awal yang menyentuh mengenai prestasi sektor ekonomi dan perbankan.

Tetapi pada tahun itu, kami memandang sepintas lalu di halaman belakang dan melihat sesuatu yang aneh. Penyata kewangan Bank Negara menunjukkan Rizab Lainnya telah merosot daripada RM10.1 bilion pada tahun 1991 kepada RM743 juta pada tahun 1992, atau kehilangan sebanyak RM9.3 bilion. Terdapat juga Liabiliti Luarjangka sebanyak RM2.7 bilion.

Ketika ditanya mengenai perkara ini, saya ingat bahawa kedua-dua Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Hussein dan timbalannya, Tan Sri Dr Lin See Yan, berkata bahawa ia bukanlah sesuatu yang serius, kerana itu hanyalah ‘paper loss’ yang dapat dipulihkan semula kemudian . Kami tidak yakin dengan itu, tetapi kami tidak dapat mencabar mereka, kerana kami tidak memahami cara Bank Negara menyampaikan akaunnya.

Walau bagaimanapun, keesokan harinya, ada ura-ura bahawa bank telah kehilangan bilion dalam urus niaga pertukaran asing dan saya masih ingat menulis cerita mengenai perkara ini untuk minggu seterusnya. Tetapi setakat itu sahaja, walaupun Ahli Parlimen pembangkang yang diketuai oleh Lim Kit Siang terus menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara untuk memberikan jawapan.

Perkara itu benar-benar menjadi besar setahun kemudian apabila Bank Negara membentangkan laporan tahun 1993 dan mendedahkan satu lagi kerugian forex sebanyak RM5.7 bilion. Inilah yang dikatakan Jaafar:

“Dalam akaun Bank pada 1993, kekurangan bersih dalam transaksi pertukaran asing sebanyak RM5.7 bilion telah dilaporkan, satu jumlah yang akan digantikan dengan keuntungan masa depan Bank. Kerugian ini mencerminkan kesilapan dalam penghakiman yang melibatkan komitmen yang dibuat dengan niat terbaik untuk melindungi kepentingan negara sebelum penerbitan akaun Bank 1992 pada akhir bulan Mac 1993. Oleh kerana pertukaran hadapan ini dibalikkan, kerugian berlaku sepanjang 1993. Dalam hal ini, perkembangan global sepanjang tahun lalu tidak mudah bagi Bank itu; dan itu menjadikannya semakin sukar bagi Bank itu untuk membalikkan tanpa sebarang kerugian. Untuk sebahagian besarnya, masa tidak memihak kepada Bank itu. Walau bagaimanapun, perkara ini kini sudah selesai – pada masa ini tidak ada lagi liabiliti luar jangka pada pertukaran hadapan tukaran asing Bank ini pada akaun ini. Bab malang dalam sejarah Bank ini kini telah ditutup.”

Jaafar bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan meletakkan jawatan, begitu juga dengan pegawai bank yang bertanggungjawab secara langsung terhadap operasi pertukaran asingnya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Bagaimanakah Bank Negara boleh kehilangan wang berbilion itu?


Menurut Jaafar kerugian itu disebabkan oleh komitmen yang dibuat untuk melindungi kepentingan negara. Beliau merujuk kepada operasi bank di pasaran forex global untuk menguruskan rizab asing negara dan masalah besar jelas telah berlaku.

Pedagang dan wartawan Forex yang mengupas isu pasaran kewangan pada akhir 1980-an tahu bahawa Bank Negara mempunyai reputasi untuk mengambil kedudukan agresif untuk mempengaruhi nilai ringgit berbanding dengan mata wang utama. Apabila bank itu tidak berpuas hati dengan nilai ringgit, naik atau turun, ia akan sama ada menjual atau membeli ringgit.

Satu soalan yang saya selalu tanya kepada peniaga forex ketika menulis laporan pasaran untuk Reuters adalah, “Adakah Bank Negara di pasaran hari ini?”

Bank Negara sentiasa mengekalkan operasi pasarannya untuk mengelakkan turun naik dan spekulasi yang tidak wajar. Pengkritiknya, bagaimanapun berkata, ia juga berbuat demikian untuk keuntungan, yang mana dinikmatinya selama bertahun-tahun.

Apa yang berlaku pada tahun 1992?


Itulah tahun di mana George Soros dan dana lindung nilai yang lain bertaruh dengan banyak terhadap pound British atas dasar bahawa ia telah terlebih nilai. Bank of England (BOE) melawan balik dengan membeli berbilion-bilion sterling sementara Soros dan gengnya ‘shorted’ mata wang itu.

Kerana ia tidak mahu terlalu banyak mengurangkan rizabnya untuk mempertahankan kadar tetap pound dalam Mekanisme Kadar Pertukaran Eropah, BOE menyerah kalah dengan mengeluarkan dari ERM pada 16 September 1992, sejak itu dipanggil Black Wednesday.

Ia dipercayai bahawa Bank Negara telah bertaruh pada pihak yang salah dalam pertarungan antara BOE dan dana lindung nilai. Ia tidak pernah sangka bahawa bank pusat boleh kalah dengan spekulator, tetapi BOE kalah dan Soros dikatakan telah mengaut keuntungan sekurang-kurangnya AS$1 bilion.

Bank Negara tidak pernah mengesahkan atau menafikan bahawa ini sebenarnya adalah apa yang berlaku tetapi bukti, walaupun tidak langsung, menunjukkan perkara ini sebagai sebab kerugian sebanyak RM9.3 bilion dalam akaun 1992 dan kerugian seterusnya sebanyak RM5.7 bilion pada tahun 1993, menyebabkan kerugian keseluruhannya berjumluh RM15 bilion.

Adakah kerugian itu lebih daripada RM15 bilion?


Bekas penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid dilaporkan baru-baru ini sebagai berkata bahawa kerugian sebenarnya ialah AS$10 bilion. Itu akan menjadi RM25 bilion pada kadar pertukaran pada masa itu iaitu RM2.50 kepada AS$1. Murad juga mendakwa bahawa tiada siasatan yang betul ke dalam perkara itu.

Berikutan tuduhannya itu, Kabinet kini telah menubuhkan sebuah pasukan petugas yang diketuai oleh bekas ketua setiausaha kepada kerajaan, Tan Sri Sidek Hassan, untuk menyiasat sama ada wujudnya salah laku yang menyebabkan kerugian, sama ada terdapat penyembunyian terhadap saiz kerugian, dan sama ada Parlimen telah dibohongi.

Jadi, siapa yang harus disoal oleh pasukan petugas sebagai sebahagian daripada siasatannya? Ini senarai nama yang saya rasakan perlu:

Tun Mahathir, yang ketika itu Perdana Menteri;

Tun Daim Zainuddin, yang merupakan menteri kewangan dari 1984 hingga 1991 apabila Bank Negara aktif dalam pasaran forex;

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan menteri kewangan semasa kerugian berlaku pada tahun 1992 dan 1993;

Dr Lin, yang merupakan timbalan gabenor bank negara itu;

Tan Sri Ahmad Don, yang menggantikan Jaafar sebagai gabenor;

Murad, yang membuat tuduhan tersebut; dan

Nor Mohamed, yang merupakan ketua operasi forex.

Siapakah Nor Mohamed?


Nor Mohamed adalah orang yang menyebabkan Bank Negara kerugian berbilion-bilion dan meletakkan jawatan bersama Jaafar pada tahun 1993. Beliau kemudian bekerja sekejap di Institut Penyelidikan RHB dan Mun Loong Bhd.

Peliknya, lelaki yang menyebabkan negara kehilangan berbilion itu kemudiannya dikreditkan dengan membantu menyelamatkan ringgit daripada spekulator mata wang pada tahun 1998.

Tun Mahathir yang kecewa dengan kegagalan selama setahun kerajaan dan bank pusat untuk menentang spekulator, yang telah menurunkan nilai mata wang Asia (ringgit menjunam kepada serendah 4.80 kepada 1 dolar), berpaling kepada Nor Mohamed untuk mendapatkan bantuan. Doktor itu tidak faham bagaimana pasaran mata wang berfungsi dan Nor Mohamed menerangkannya secara terperinci. Kedua-dua lelaki tersebut kemudian secara rahsia membuat rancangan yang mengejutkan dunia – penguatkuasaan kawalan pada 1 September 1998.

Dikritik secara meluas pada masa itu (Ahmad Don dan timbalannya, Datuk Fong Weng Phak meletak jawatan sebagai protes), ada yang mengatakan langkah itu membantu mengakhiri krisis, kerana spekulator takut negara-negara lain yang terlibat akan melakukan perkara yang sama.

Nor Mohamed diangkat kembali dan kemudiannya menjadi Menteri Kewangan 2 di bawah Tun Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau kini menjadi timbalan pengerusi Khazanah Nasional.

Tetapi sekarang, perkara lampau telah diungkit sebagai isu untuk pertandingan politik antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan musuh besarnya, Tun Mahathir. Objektifnya jelas. Tun Mahathir telah menyerang Najib tanpa henti mengenai 1Malaysia Development Bhd. Pentadbiran semasa melawan kembali dengan mengatakan berbilion-bilion juga hilang di bawah pentadbiran Tun Mahathir. Tun Mahathir berkata terdapat penyembunyian oleh 1MDB dan musuhnya menuduh beliau melakukan perkara yang sama.

Adakah pasukan petugas itu akan menemui apa-apa yang belum lagi diketahui?


Pasukan petugas itu memerlukan masa tiga bulan untuk menyelesaikan tugasnya, jadi kita hanya boleh menunggu untuk gambaran penuh sebelum kita dapat membuat sebarang kesimpulan yang boleh menjelaskan sesuatu yang berlaku 25 tahun yang lalu.

Mungkin, suatu hari nanti, kita akan bernasib baik untuk mempunyai gambaran penuh mengenai hal ehwal 1MDB. Menteri Kewangan 2 semasa Datuk Seri Johari Abdul Ghani ada berkata pada bulan ini bahawa tiada tindakan telah diambil terhadap sesiapa di Malaysia mengenai 1MDB kerana kami hanya mempunyai “separuh cerita” sahaja setakat ini.

Kalau begitu, bukankah kita patut mempunyai pasukan petugas ke atas 1MDB juga supaya rakyat Malaysia boleh mendapat gambaran penuh?

Ho Kay Tat merupakan penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Media Group. Artikel ini muncul dalam Isu 772 (27 Mac) dalam The Edge Singapore yang kini sudah berada dipasaran.