Apa niat sebenar pemimpin pembangkang khususnya penasihat DAP, Lim Kit Siang apabila menolak usaha kerajaan untuk mewujudkan undang-undang bagi membendung berita palsu?
Persoalan itu dilempar Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang melihat bagaimana pembangkang cenderung menggunakan berita palsu sebagai senjata terakhir untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya.
“Undang-undang itu bukan untuk kepentingan kerajaan semata-mata, tetapi demi kemaslahatan semua pihak. Adakah pembangkang suka apabila mereka menjadi alat atau mangsa berita palsu, sudah tentu mereka juga tidak suka.
“Kenapa Kit Siang menolak usaha berkenaan? Sebab saya percaya mereka merancang untuk menggunakan berita palsu sebagai senjata terakhir bagi menghadapi kempen pilihan raya seperti dalam Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO bagi Parlimen Ketereh.
Kit Siang baru-baru ini mendakwa kononnya pengumuman kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu tidak meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Annuar berkata, sikap dipamerkan pembangkang itu menunjukkan bahawa mereka menolak apa sahaja usaha kerajaan walaupun perkara itu baik untuk rakyat.
“Bagi yang tidak setuju dengan cadangan itu bermakna mereka menyokong penyebaran fitnah berlaku kerana tujuan kita adalah untuk mengekang penularan berita palsu dan memastikan ada kerangka undang-undang yang mengawalnya,” kata Annuar. – 4 Februari 2018.