Khamis, 1 Februari 2018
Gambar Kereta Polis China Untuk Penggambaran Filem: PDRM
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 15 Jamadilawal 1439H, Khamis – Bukit Aman hari ini menafikan kereta peronda polis China akan digunakan di Malaysia, sebagaimana dua keping gambar kenderaan itu yang menjadi tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan menjelaskan, dua kereta itu digunakan sebuah syarikat perfileman yang sedang membuat penggambaran di sekitar Putrajaya.
Asmawati berkata, filem yang mengisahkan kehidupan seorang pegawai polis di bandar raya rekaan Han City itu, adalah untuk tayangan di negara berkenaan.
Beliau berkata, PDRM telah mengesan satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, dengan menggunakan nama serta gambar profil seorang bekas pemimpin negara.
Dalam kiriman itu, pemilik akaun berkenaan turut memuat naik gambar dua buah kereta polis berkenaan dengan status yang mendakwa kononnya ia digunakan oleh pasukan PDRM.
“PDRM memandang serius dakwaan dan persoalan yang dibangkitkan di Facebook Paga tersebut kerana ia jelas sekali berniat serong dan cuba membangkitkan persepsi negatif terhadap agensi kerajaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk berhemah dan berhati-hati dalam menggunakan platform media sosial, serta mengelakkan daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh menjurus kepada fitnah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang status tanpa mendapatkan maklumat sahih kerana ia boleh membawa kesan negatif kepada pihak tertentu.
“Jadilah pengguna yang berhemah, bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan mana-mana platform media sosial atau rangkaian komunikasi untuk menyebar perkara-perkara yang boleh membangkitkan kegusaran masyarakat.
“Dalam pada itu, adalah paling tidak wajar bagi mana-mana pihak menyalahgunakan gambar orang-orang kenamaan sebagai profil akaun media sosial mereka untuk mempromosikan agenda tersendiri,” katanya.