Jumaat, 30 Mac 2018

Fitch Ratings Sahkan Malaysia Pada 'A-', Pertumbuhan Positif Berterusan



1. Fitch Ratings mengesahkan penarafan ingkar penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia pada 'A-' dengan prospek stabil, berikutan ia menjangka momentum pertumbuhan yang positif berterusan pada tahun ini dan pada 2019 berdasarkan persekitaran luaran yang kukuh.

2. Agensi penarafan itu mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4% pada 2018 dan 2019, disokong oleh permintaan domestik dan luaran. Fitch berkata lebihan akaun semasa Malaysia meningkat kepada 3% daripada KDNK pada tahun lepas berbanding 2.3% pada 2016, didorong terutamanya oleh peningkatan dari segi eksport elektronik.

_"Kami menjangka pertumbuhan eksport sederhana pada 2018, berikutan kesan asas yang positif berkurangan, tetapi kekal kukuh, selaras dengan keadaan permintaan global yang menggalakkan. Kami menjangka lebihan akaun semasa pada sekitar 2-3% daripada KDNK pada 2018 dan 2019,"_ katanya.
 
3. Bagaimanapun, berdasarkan tahap keterbukaan perdagangan Malaysia yang tinggi, ia akan terdedah kepada perkembangan luaran yang negatif, seperti peningkatan dasar perlindungan perdagangan, seperti ekonomi terbuka yang lain.

4. Penurunan defisit fiskal selaras dengan sasaran. Defisit Kerajaan Persekutuan Malaysia berkurangan lagi kepada 3% daripada KDNK pada 2017, sejajar dengan sasaran kerajaan pada 2017, daripada 3.1% pada 2016.

_"Walaupun kami menjangka perbelanjaan Kerajaan Persekutuan akan meningkat menjelang pilihan raya umum, kami percaya sasaran defisit bagi 2018 sebanyak 2.8% daripada KDNK akan dapat dicapai. Kami menjangka defisit akan berkurangan lagi kepada 2.8% daripada KDNK pada 2018, dan hutang Kerajaan Persekutuan akan susut kepada kurang daripada 50% daripada KDNK,"_ katanya.

5. Fitch berpendapat sasaran jangka sederhana kerajaan untuk mencapai bajet yang hampir seimbang menjelang 2020 akan memerlukan peningkatan dalam usaha penyatuan fiskal pada 2019 dan 2020.

6. Mengenai sektor perbankan, katanya ia kekal stabil dengan paras permodalan yang kekal kukuh serta mudah tunai dan keadaan pembiayaan yang terus menggalakkan.