PENDANG 16 Julai - Seorang ahli Pergerakan Puteri UMNO di sini mendedahkan kakaknya yang berusia 38 tahun menjadi mangsa ugutan jatuh talak oleh suaminya jika mengundi Barisan Nasional (BN).
Ahli Puteri itu yang berusia 29 tahun dari Kampung Pokok Tai dekat sini berkata, suami kakaknya yang merupakan seorang aktivis Pas membuat ugutan itu sejak pilihan raya umum tahun 1999.
Menurutnya, ugutan tersebut dibuat memandangkan keluarganya yang merupakan penyokong BN dan bimbang kakaknya juga mengundi parti kerajaan itu.
``Kakak saya mengadu dia kecewa dengan ugutan suaminya itu memandangkan soal talak bukan boleh dibuat gurauan terutamanya pada pilihan raya.
``Kakak saya itu bimbang jatuh talak sekiranya dia mengundi BN,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Selain itu beliau difahamkan beberapa pengundi wanita lain di sekitar kampung itu juga menerima nasib yang sama seperti kakaknya.
Tambahnya, beberapa ibu tunggal juga tidak dapat mengundi BN kerana kononnya diwasiatkan oleh suami masing-masing supaya menyokong Pas setiap kali pilihan raya.
Sementara itu calon BN, Datuk Othman Abdul berkata, beliau sebelum ini menerima banyak aduan mengenai ugutan jatuh talak sekiranya mengundi BN di kawasan Parlimen Pendang.
Katanya, ugutan tersebut disebarkan kerana kurangnya didikan agama sebaliknya mereka taksub dengan ajaran yang disebarkan oleh pemimpin parti pembangkang.
Timbalan Pengerusi Pilihan Raya Puteri Kedah, Dermawati Osman pula kesal apabila golongan wanita dikongkong dan tidak diberi kebebasan oleh suami untuk membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya.
``Saya kesal apabila penyokong Pas sanggup mempertaruhkan rumah tangga kerana kepentingan politik sempit,'' ujarnya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_01.htm#ixzz5ATFHzGrY
© Utusan Melayu (M) Bhd