KERAJAAN telah membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini yang bertujuan untuk mengekang penyebaran berita tidak benar.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, RUU itu mentakrifkan berita tidak benar sebagai "apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhan adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea".
Demikian merupakan soalan lazim ditanya berhubung RUU tersebut;
*SOALAN : Apakah tujuan Kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu ini serta cabarannya memandangkan terdapat beberapa undang-undang sedia ada untuk mengekang isu penyebaran berita tidak benar?*
JAWAPAN : Isu penyebaran berita tidak benar merupakan masalah yang dihadapi secara global ekoran revolusi teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat dan terlalu pantas. Sejak kebelakangan ini, Malaysia sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran kesan daripada penyebaran berita tidak benar yang bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh memberi ancaman terhadap keselamatan, ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara. Justeru, pendekatan baharu dengan memperkenalkan satu RUU baharu adalah amat kritikal.
Malah, beberapa negara luar telah mula menyedari bahawa isu penyebaran berita tidak benar merupakan ancaman global yang besar kepada dunia maklumat (information world) yang perlu ditangani secara efektif dan segera. Sebagai contohnya, suatu Jawatankuasa Pilihan (Select Committee On Deliberate Online Falsehoods: Causes, Consequences And Counter measures) ditubuhkan untuk mengkaji masalah berita tidak benar, jenis-jenis pelaku dan motif mereka dalam menyebarkan berita tidak benar dan kesan penyebarnya. Ini termasuklah kemungkinan untuk mengadakan suatu undang-undang baharu bagi menangani penyebaran berita tidak benar.
Filipina juga telah menggubal suatu RUU khas untuk menangani penyebaran berita tidak benar, iaitu Anti-Fake News Bill 2017 yang memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang menawarkan, menerbitkan, mengedar atau menyebarkan berita tidak benar.
Justeru, harus difahami bahawa walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan, namun sehingga hari ini masalah ini tidak dapat dikawal secara efektif berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas dan kompleks. Apatah lagi, undang-undang yang sering disebut dalam perkara ini seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah digubal pada atau sebelum tahun 1990an yang tidak dapat menangani sifat kesalahan yang kompleks seiring dengan peredaran teknologi terkini.
Sehubungan dengan itu, elemen-elemen yang baharu akan diperkenalkan dalam RUU ini.
Antara elemen baharu yang dicadangkan termasuk memperuntukan pemakaian luar wilayah (extra territorial application) dengan hasrat menunjukkan keseriusan Kerajaan dalam menangani kesalahan-kesalahan penyebaran berita tidak benar oleh mana-mana orang di luar Malaysia.
Selain takrif, penjelasan atau ilustrasi yang jelas mengenai maksud “berita tidak benar”, RUU ini juga akan memperuntukkan kesalahan mengenai bantuan kewangan bagi tujuan penyebaran berita tidak benar, kesalahan sekiranya seseorang itu tidak menghapuskan sesuatu penyiaran berita tidak benar dan sebagainya.
Pada masa yang sama, RUU ini akan mewujudkan langkah sementara (interim measures) untuk menyekat penyebaran sesuatu berita tidak benar sementara siasatan dan pendakwaan sesuatu kes sedang dijalankan.
*SOALAN : Merujuk kepada, definisi mengenai “berita tidak benar” dalam RUU ini, adakah definisi tersebut bersifat umum atau spesifik?*
JAWAPAN : Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memberikan takrif yang jelas dan khusus mengenai “berita tidak benar” dalam RUU yang dicadangkan termasuk memperuntukan beberapa illustrasi untuk menunjukkan keadaan-keadaan berlak