Rabu, 14 Mac 2018

TIADA MANIPULASI SISTEM PILIHAN RAYA PADA PRU14 UNTUK MENANGKAN PIHAK TERTENTU

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
Bil.20/2018


1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa terdapat manipulasi terhadap sistem pilihan raya dan persempadanan semula untuk memastikan kemenangan pihak parti tertentu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Dalam hal ini, SPR menegaskan bahawa semua sistem yang dijalankannya seperti sistem pendaftaran pemilih, sistem penjalanan pilihanraya dan sistem persempadanan semula bahagian pilihan raya adalah telus dan adil.  

2. Ini berikutan dakwaan yang dibuat oleh artikel yang disiarkan dalam akhbar The Economist bertajuk How Malaysia's Next Election Will Be Rigged pada 8 Mac lalu yang mendakwa bahawa terdapat manipulasi sistem pilihan raya dan persempadanan semula bahagian pilihan raya yang dijalankan bertujuan untuk membantu kemenangan parti pemerintah pada PRU14 akan datang. Sehubungan dengan itu, SPR berpandangan kenyataan tersebut adalah bersifat tohmahan yang tidak berasas sama sekali serta berniat untuk mengelirukan. 

3. Dalam hal ini pihak berkenaan hanya melihat kesan persempadanan semula yang dijalankan itu dalam konteks kepentingan politik kepartian mereka semata-mata. Namun bagi SPR pula, dalam menjalankan urusan ini, SPR tidak pernah mengambil kira kepentingan politik mana-mana parti kerana kami melihat tujuan dan kesan persempadanan semula itu dalam perspektif yang lebih utama iaitu untuk kepentingan keseluruhan pengundi dan wakil rakyat di setiap bahagian pilihan raya yang terlibat.

4. Persoalan terhadap penentuan kalah atau menang mana-mana pihak calon/parti adalah bergantung kepada usaha mereka dalam memenangi hati rakyat serta menarik sokongan pengundi untuk memilih mereka kerana pengundi mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pilihan mereka.

5. Malahan, sejarah pilihan raya juga telah membuktikan bahawa persempadanan semula bukanlah faktor penentu kepada kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak, sebaliknya ia ditentukan oleh pilihan pengundi sepertimana yang berlaku ke atas Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak yang pernah berjaya diperintah oleh pihak parti pembangkang sehingga beberapa penggal pilihan raya walaupun masih menguna pakai formula dan sistem persempadanan yang sama. 

6. Selain itu, persoalan gerrymandering dan malapportionment yang sering dijadikan alasan oleh pihak tersebut bahawa SPR telah melakar sesuatu kawasan pilihan raya bertujuan memberi kemenangan kepada parti tertentu juga adalah tidak benar. Keputusan mahkamah yang memihak kepada SPR jelas membuktikan bahawa ia telah mematuhi semua prinsip-prinsip asas persempadanan semula berdasarkan kepada peruntukan yang digariskan dalam Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan. 

7. SPR juga ingin menjelaskan berhubung formula perbandingan persempadanan tidak sama rata yang sering digunakan oleh pihak tersebut adalah tidak wajar dan berniat untuk mengelirukan rakyat. Contohnya, adalah sangat tidak wajar mereka membandingkan bahagian pilihan raya Parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kategori bandar dengan bahagian pilihan raya Parlimen/DUN dalam kategori luar bandar kerana ianya dalam kategori yang berbeza. 

8. Dari sudut geografi dan populasi, walaupun Parlimen/DUN luar bandar mempunyai keluasan yang lebih besar tetapi populasinya adalah lebih kecil. Manakala jenis penempatannya pula adalah secara berselerak. Berbanding pula dengan bahagian pilihan raya Parlimen/DUN dalam kategori bandar, walaupun keluasannya lebih kecil namun kepadatan penduduknya adalah sangat tinggi kadangkala mencecah lebih sejuta orang dan jenis penempatannya pula adalah secara berkelompok/ berpusat. 

9. Selain daripada itu kemudahan juga lebih banyak terdapat di bahagian pilihan raya Parlimen/DUN dalam kategori Bandar seperti sekolah, dewan dan sebagainya. Oleh yang demikian sudah pasti terdapat perbezaan ketara di antara kedua-dua jenis kategori bandar dan luar bandar. Sewajarnya perbandingan perlulah dibuat di antara kategori bandar dengan bandar atau luar bandar dengan luar bandar.  

10. SPR menegaskan bahawa kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya dibuat untuk kepentingan dan keselesaan pengundi serta memudahkan wakil rakyat untuk memberi khidmat mereka kepada pengundi. Selain itu, keutamaan kepada keselesaan pengundi dan kemudahan proses pengundian serta penjalanan pilihan raya secara menyeluruh telah dinilai oleh SPR dalam proses tersebut. 

11. Untuk pengetahuan, syor persempadanan semula itu juga telah dirangka dengan mengambil kira semua cadangan serta maklumbalas yang diterima daripada pembantah-pembantah yang layak mengikut undang-undang melalui representasi bantahan yang dikemukakan oleh mereka. SPR telah mempertimbangkannya dan meminda kebanyakkan syor-syor asal sebelum menyediakan laporan akhir. 

12. SPR telah pun menyerahkan laporan akhir tersebut kepada YAB Perdana Menteri pada 9 Mac 2018 untuk tindakan beliau selanjutnya. Dengan penyerahan laporan itu, bermakna tugas dan tanggungjawab SPR dalam melaksanakan urusan Kajian Persempadanan Semula ini telah selesai seperti mana ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. 

13. Walaubagaimana pun syor yang dikemukakan oleh SPR dalam laporan akhir tersebut masih lagi belum muktamad kerana ianya perlu dibentangkan, dibahas dan diluluskan oleh Dewan Rakyat. Oleh yang demikian, Ahli-Ahli Dewan Rakyat wajar mengambil peluang untuk membahas syor itu dan membuat keputusan sewajarnya. SPR telah menjalankan tanggungjawabnya selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan.

14. Mengenai sistem pendaftaran pemilih pula, SPR telah mewujudkan proses yang telus dan adil di mana setiap pewartaan daftar pemilih mesti melalui proses pameran rang daftar pemilih tambahan kepada umum bagi membolehkan pemeriksaan dibuat terhadap setiap permohonan baharu permohonan atau permohonan pertukaran bahagian pilihan raya sebelum didaftar dan diwartakan mengikut Undang-Undang. Pemilih yang layak di bahagian pilihan raya yang berkenaan diberi peluang untuk membuat proses bantahan dan tuntutan. Malah, pendengaran awam juga dilaksanakan untuk membuktikan sesuatu permohonan itu sah atau sebaliknya. Semua proses itu mesti dilalui oleh SPR bagi pewartaan pemilih ini  dan ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. 

15. SPR juga ingin menjelaskan mengenai ketelusan sistem pilihan raya yang dikendalikan olehnya pada setiap pilihan raya bahawa setiap proses dijalankan dengan telus dan adil. Dalam sistem pilihan raya Negara ini  terdapat peranan pemerhati-pemerhati tetap yang terdiri daripada wakil-wakil setiap calon atau parti politik yang bertanding yang bertugas dalam tempat pengundian (saluran) dan tempat pengiraan undi sebagai ejen Tempat Mengundi (ETM) atau Ejen Pengiraan Undi (EPU). Mereka turut berada dalam tempat mengundi sepanjang masa untuk memerhati dan memantau segala proses yang dijalankan. 

16. Pada PRU14 nanti dianggarkan akan terdapat lebih daripada                 200 ribu orang ejen calon atau parti akan berada dalam hampir 30 ribu tempat mengundi (saluran) untuk memantau proses PRU14. Oleh yang demikian dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa sistem pilihan raya akan dimanipulasi untuk memberi kemenangan kepada pihak parti tertentu adalah satu tohmahan yang bertujuan untuk menimbulkan rasa kecurigaan dan mengelirukan masyarakat. Dalam hal ini SPR ingin menasihati setiap calon atau parti yang bertanding supaya melantik wakil mereka secukupnya untuk bertugas sebagai pemerhati/ejen mereka dan menjadi saksi mata bahawa segala proses pilihan raya itu dilaksanakan dengan telus dan adil.

17. Selain itu, proses pengundian pos juga dilakukan atas keperluan pihak-pihak terlibat yang tidak dapat melaksanakan proses undi awal atau keluar pada hari mengundi atas faktor-faktor memastikan keselamatan dan kesihatan awam terjamin. Ini adalah dibenarkan oleh Undang-Undang dan telah diputuskan bahawa hanya kategori tertentu sahaja dibenarkan  secara permohonan bukannya secara automatik atau bukannya kepada semua anggota secara pukal.
18. Apa pun kritikan dan cadangan yang dikemukakan kepada SPR berkaitan sistem pilihan raya, ianya tidak akan menjejaskan komitmen SPR dalam memastikan PRU14 berlangsung secara telus dan adil serta mematuhi semua proses perundangan berkaitan pilihan raya.

19. SPR menegaskan bahawa tiada manipulasi sistem pilihan raya atau persempadanan semula dalam PRU14. SPR tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya yang akan berlangsung nanti. 

20. Dalam situasi politik terkini, adalah tidak wajar SPR dan sistem yang dilaksanakannya dijadikan bahan propaganda atau dijadikan modal politik oleh pihak-pihak berkenaan. SPR menyarankan semua pihak mengamalkan politik matang kerana dengan sistem itu jugalah mereka dapat berkuasa di negeri-negeri tersebut selama beberapa penggal. 

21. SPR turut menasihati semua pihak agar tidak mudah mempercayai dakwaan liar yang dibuat oleh pihak tertentu yang bertujuan menimbulkan kecurigaan terhadap kredibiliti sistem dan badan yang menjalankannya. SPR akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sekiranya didapati mana-mana pihak yang cuba menyebarkan berita palsu dan menimbulkan kegemparan serta menjejaskan proses PRU14 nanti.

22. Dalam masa yang sama, bagi menghadapi PRU14 ini, SPR akan terus menjalankan usaha-usaha penerangan dan penjelasan yang lebih menyeluruh kepada masyarakat berlandaskan fakta dan situasi sebenar berhubung sistem pilihan raya, sistem pendaftaran pemilih dan sistem persempadanan semula yang diamalkan supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tuduhan liar yang dilemparkan kepada SPR.

Sekian, terima kasih.

*TAN SRI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH*
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia

PUTRAJAYA
Tarikh : 13 Mac 2018 / 25 Jamadil Akhir 1439H