Selasa, 26 Februari 2019

Pemilik Proton X70 menganjurkan perjalanan pemanduan ke China






Subang Jaya, 26 Februari 2019 – PROTON telah menyerahkan lebih daripada 5,500 unit Proton X70 sejak model itu dilancarkan dan disebabkan itu, ramai pemilik model tersebut begitu teruja untuk melihat sendiri kelebihan yang ada pada kereta mereka. Seramai sembilan pemilik Proton X70 telah berkumpul bagi menganjurkan perjalanan pemanduan ke empat negara berbeza, merangkumi 13 bandar dan sejauh 13,000km. Destinasi mereka adalah Hangzhou, China, bandar yang paling ramai penduduk Wilayah Zhejiang dan merupakan pusat bandar utama rakan kongsi PROTON, iaitu Geely.

Mempamerkan kelebihan Proton X70

Diketuai oleh Pasukan Borneo Automobile Leisure Touring dan Kunming Scenery-Customer International Travel Co. China, aktiviti pemanduan perjalanan ini turut mendapat sokongan dari PROTON. 

Syarikat telah menetapkan hentian disepanjang laluan mereka di lokasi-lokasi cawangan pengedar dan pusat servis PROTON untuk mengalu-alukan para peserta sebagai satu inisiatif PROTON yang mengutamakan pelanggannya.

Dimulakan dengan sesi pelepasan di Pusat Kecemerlangan PROTON di Shah Alam, keseluruhan perjalanan yang disertai seramai 33 peserta ini akan mengambil masa kira-kira 33 hari untuk sampai ke destinasi. Titik separuh perjalanan ini adalah di Hangzhou, di mana peserta akan berpeluang untuk melawat ke Pusat Pengalaman Geely dan mengetahui lebih lanjut mengenai bagaimana Geely berubah menjadi salah satu syarikat automotif yang paling berkembang maju serta turut berpeluang untuk melihat model-model terbaharu Geely.

Bagi PROTON, perjalanan ini dilihat sebagai satu peluang untuk mempamerkan Proton X70 kepada pembeli di pasaran luar negara, terutamanya di negara-negara ASEAN, yang merupakan kunci utama bagi percambahan jualan pada masa hadapan. Ia juga akan membuktikan bahawa model SUV ini mampu dipandu dalam pelbagai persekitaran yang berbeza dan keadaan-keadaan jalan raya ketika ia bergerak dari Malaysia ke China.

Dilihat sebagai peluang untuk mencipta memori dan mengukuhkan silaturahim

Perjalanan epik yang akan berlangsung selama sebulan ini akan memberi pelbagai peluang kepada para peserta. Bagi mereka yang menyertai Perjalanan Hebat Malaysia – China, ini adalah sebagai satu peluang untuk merasai keupayaan

Proton X70 secara keseluruhan dalam pelbagai keadaan jalan dan cuaca. Dalam sepanjang perjalanan, mereka akan dapat menikmati pemandangan yang indah serta bergaul dengan ramai orang dan mendapat kenalan baharu.

Bercakap semasa sesi pelepasan ini, Dato' Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, beliau berkata "Walaupun ini adalah inisiatif tertutup, PROTON dengan sukacita menawarkan sokongannya sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan. Proton X70 telah diterima baik oleh rakyat Malaysia dan kami berharap dengan memperlihatkan keupayaan model ini kepada pembeli kereta serantau, kami dapat meletakkan asas bagi kejayaan jualan eksport pada masa hadapan."

Setelah melengkapkan perjalanan mereka ke Hangzhou, peserta akan pulang ke Malaysia melalui laluan yang berbeza, dengan destinasi akhir adalah di Pusat Kecemerlangan PROTON di Subang Jaya, Selangor.