Isnin, 11 Mac 2019

Kenyataan Nga Kor Meng Berbaur Perkauman

KENYATAAN AKHBAR


Pengerusi DAP Perak, YB Nga Kor Ming perlu berhenti berlakon sebagai pejuang kebangsaan selepas mengundang kemarahan rakyat susulan kenyataannya menggambarkan gabungan UMNO-PAS akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

Kor Ming tidak perlu berpura-pura untuk menutup keterlanjuran sendiri memandangkan beliau sememangya sudah dikenali rakyat sebagai orang yang kerap meniup api permusuhan, malah ucapan-ucapannya yang berbaur perkauman dan kebencian telah menjadi malar segar di internet.

Rakyat tidak boleh lupa bagaimana beliau membakar kemarahan rakyat dengan menggambarkan pemberian duit raya ketika sambutan Aidilfitri sebagai pemberian dedak.

Kor Ming juga pernah dikritik hebat kerana mempersoalkan peruntukan lebih besar kepada masjid berbanding rumah ibadat lain.

Begitu juga ucapan-ucapan ceramahnya yang sarat dengan maki hamun dan sumpah seranah selain pernah dirakam mencarut dengan kata-kata berbaur lucah terhadap musuh politiknya.

Kor Ming juga pernah menghamburkan kata-kata nista terhadap bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir dengan gelaran ‘hitam metalik’ sehingga terpaksa meminta maaf selepas dikecam hebat pelbagai pihak.

Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menjadi mangsa kebiadaban Kor Ming apabila menyatakan beliau akan ‘pergi’ tidak lama lagi menyertai bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, bermain mahjong di dunia lain.

Justeru, agak melucukan apabila Kor Ming mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah, sedangkan kecaman rakyat terhadap beliau adalah berpunca dari keceluparannya sendiri.

Beliau sebenarnya tidak layak bercakap  mengenai perpaduan rekod menunjukkan beliau salah seorang ejen perpecahan yang sering menanam semangat kebencian yang mengganggu keharmonian antara kaum.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu harus ingat pada zaman internet ini, setiap ucapan dan kata-kata beliau direkodkan dan tidak boleh dipadamkan di alam maya. Internet tidak lupa dan kata nista beliau masih lagi dapat ditonton oleh rakyat.

Tidak menghairankan sekiranya selepas ini Kor Ming mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman dan kebencian kerana beliau mungkin percaya bahawa hanya dengan bersikap sedemikian akan membantunya terus hidup dalam pentas politik DAP.

DATO SAARANI MOHAMAD
Ketua Pembangkang DUN Perak
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak