Ahad, 6 Oktober 2019

Pemimpin kerajaan jangan jadi munafik dan hipokrit

Bekas  Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor meminta para pemimpin, khususnya PM untuk berhenti menjadi munafik dan hipokrit.

Katanya, “selepas lebih 50 tahun merdeka” dengan negara sepanjang masa dipimpin oleh orang Melayu tetapi terpaksa menganjurkan sebuah kongres yang “memalukan” untuk mempertahankan maruah orang Melayu.

Sepanjang masa itu, Ezam berkata, pemimpin Melayu yang berkuasa hanya menjaga “anak bini dan kroni”, sedangkan bangsa Melayu “di bawah pentas” dan “di luar dewan” ramai yang melarat dan sengsara kehidupannya, termasuk juga rakyat dari bangsa-bangsa lain.

“Buktinya jelas. Lihatlah yang di atas pentas kongres itu nanti majoritinya jutawan, anak-anaknya jutawan, rumah dan kereta paling besar dan mewah di kota-kota besar dunia semuanya ada di atas pentas itu.

“.. Maka berhentilah jadi munafik dan hipokrit wahai pemimpin-pemimpin negara. Khusus buat Mahathir yang Allah telah beri kuasa paling panjang dan lama, berhentilah.

“Tun telah gagal. Kongres ini adalah manisfestasi sebuah kegagalan,” kata Ezam lagi.

Ezam turut menggesa PM untuk melakukan “pembetulan” dalam negara ini, atau sekurang-kurangnya mengambil dua tindakan.

Pertama, membuang menteri-menteri yang mempunyai perangai sibuk mengumpul harta buat anak-pinak serta kroni dan kedua membuang menteri yang terang-terang melakuan perbuatan tidak bermaruah, ditayang di seluruh dunia, namun terus menjadi menteri kerana dilindungi perdana menteri.

Kata Ezam lagi dia yakin Dr Mahathir tidak akan melakukan pembetulan tersebut, kerana katanya, kongres itu sebenarnya bukanlah untuk bangsa Melayu.

“Menjijikkan. Memang tepat namanya kongres maruah tetapi bukan maruah Melayu, maruah pemimpin-pemimpin Melayu yang sudah hilang maruah.

“Nama yang betul dan sewajarnya ialah Kongres Maruah Pemimpin Melayu,” katanya lagi.