Rabu, 8 Julai 2020

UMNO Tolak Pendaftaran PN - Dr Maszlee Malik



YB Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, ahli Majlis Tertinggi UMNO telah mengeluarkan kenyataan yang pedas dan jelas.

UMNO menolak pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai badan formal. Kata beliau, Bersatu sahaja yang sedang berusaha untuk ‘formalise’ penubuhan PN kerana ianya merupakan satu-satunya jalan survival Bersatu.

Ini bukan kali pertama pimpinan UMNO menyatakan pendirian sedemikian. Tok Mat Negeri Sembilan, Nur Jazlan, Ku Nan dan lain-lain MT UMNO juga telah menyatakan pendapat yang sedemikian.

Pendek kata, UMNO tidak perlukan Bersatu. Bersatu yang perlukan UMNO.

Semalam juga, UMNO dan PAS telah mengadakan perbincangan di ibu pejabat UMNO untuk bersedia menghadapi PRU 15.

Perbincangan itu hanya melibatkan UMNO dan PAS, tidak Bersatu. Mengapa Bersatu tidak diajak bersama?

Untuk memahamkan bagaimana rumit dan tersisihnya kedudukan Bersatu, saya berikan analisa contoh yang mudah tentang kekuatan UMNO dan PAS.

Kita ambil contoh di Semenanjung, UMNO bertanding 105 kerusi dan menang sebanyak 46 kerusi.

Nisbah kekuatan UMNO ialah 46 daripada 105, bersamaan dengan 43.8%.

PAS pula bertanding 144 kerusi dan menang 18 kerusi. Nisbah kekuatan PAS ialah 18 daripada 114, bersamaan dengan 12.5%.

Bersatu bertanding 52 kerusi dan menang 13 kerusi. Nisbah kekuatan Bersatu ialah 13 daripada 52, bersamaan dengan 25%.

Persoalan yang penting di sini, melalui kerjasama Perikatan Nasional, berapa banyakkah kerusi yang PAS sanggup korbankan untuk memberi laluan kepada UMNO dan Bersatu untuk mengelakkan berlakunya pertembungan 3 penjuru?

Jangan dilupa sejarah PAS di dalam rundingan pembahagian kerusi semasa di dalam Pakatan Rakyat, PAS telah meletakkan calon di DUN Kota Damansara dan Sg Aceh sehingga berlakunya pertandingan 3 penjuru yang menjejaskan kemenangan Pakatan Rakyat ketika itu.

Pada PRU 14, telah berlaku pertandingan 3 penjuru di 46 kerusi antara Bersatu, UMNO dan PAS. Bersatu hanya menang 10 kerusi, UMNO menang 30 kerusi dan PAS pula menang 6 kerusi.

Adalah hampir mustahil untuk PAS dan UMNO sedekahkan 36 kerusi yang telah dimenangi mereka kepada Bersatu.

Malah untuk mengekalkan dikotomi 10 kerusi yang sedia ada itupun adalah suatu yang amat meragukan.

Semasa PRU 14 yang lalu, sebanyak 4 kerusi Bersatu bertanding melawan MIC, MCA atau Gerakan. PRK Tg Piai membuktikan MCA mampu merampas semula kerusi Bersatu dan adakah pada PRU 15, Gerakan dan MCA sanggup memberikan laluan kepada Bersatu?

Terdapat 2 kerusi lagi, Kota Tinggi dan Pengerang, telah berlaku pertandingan 1 lawan 1 antara Bersatu dan UMNO. Selaku Presiden Bersatu dan orang Johor, adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat berunding agar UMNO memberikan laluan kepada Bersatu bertanding di Kota Tinggi dan Pengerang tanpa tentangan?

Di kawasan yang rata-rata pengundinya bukan Melayu yang telah disandang Bersatu sebelum ini, tidak lagi akan diberikan kepada Bersatu kerana kemenangan di bawah PH sebelum ini ialah hasil dari sokongan DAP.

Peluang untuk menang di kawasan seperti ini di bawah PN sangat- sangat tipis. Kawasan-kawasan sebegini akan dibolot oleh MCA dan MIC. Kawasan tersebut adalah Tapah, Tanjung Piai, Alor Gajah dan Simpang Renggam.

Di pantai timur pula sebagai contoh, Bersatu boleh tutup kedai kerana tidak ada sebab Bersatu perlu bertanding di sana.

16 kerusi daripada 34 kerusi yang ditandingi Bersatu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, semua kerusi Bersatu kalah dengan mendapat undi hanya 101,488 dari 884,773 jumlah undi, menjadikan undi popular Bersatu di pantai timur hanya 11.5%.

Saya memberikan senario yang mudah sebegini untuk memahamkan ahli dan akar umbi, bergayut di atas dahan PN adalah jalan yang sukar dan payah.

Itupun jika PN setuju ditubuhkan oleh UMNO dan PAS.

Saya gusar yang berteriak menyokong akhirnya hanya seronok sendiri, kerana hakikatnya sampai hari ini, tidak ada sebarang kenyataan pun dari UMNO yang mengesahkan untuk bertanding di PRU15 menerusi PN.

Saya juga telah menulis bagaimana Bersatu akan dipinggirkan dengan sangat tidak adil. Tidak ada pimpinan UMNO yang membantah atau mengeluarkan kenyataan mempertahankan Bersatu apalagi bersedia untuk berkongsi kerusi dengan Bersatu.

Malah Bersatu juga tidak akan lagi menjadi parti dominan di bawah PN (sekiranya ia ditubuhkan).

UMNO ialah parti dominan dan sudah tentulah calon Perdana Menteri bukan lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi daripada UMNO. Calonnya sudah tentu Najib Razak atau Zahid Hamidi.

UMNO sekarang mempunyai 39 kerusi sementara Bersatu hanya memiliki 12 kerusi (jika tidak ditolak 5 kerusi yang kononnya telah terhenti keahlian mereka) termasuk 14 MP yang lompat ke Bersatu dari UMNO.

Adakah 14 MP UMNO yang lompat ke Bersatu akan kembali semula kepada UMNO dan bertanding mempertahankan kerusi mereka atas tiket UMNO bukan Bersatu kerana mereka sebelum ini menang atas tiket UMNO?

Menteri Besar PN juga bukan lagi didominasi dari Bersatu berikutan bertukarnya kerajaan negeri di Johor, Melaka, Kedah.

Dalam bahsa mudah, pimpinan Bersatu sekarang telah menggadaikan negeri-negeri tersebut demi sokongan politik kepada seorang individu. Ini tidak pernah berlaku di zaman PH!

Di Perak sebagai contoh, barisan exco didominasi oleh UMNO seramai 6 orang daripada keseluruhan 11 Exco Perak.

Setiap kali saya bertemu dan berbincang dengan ahli-ahli dari akar umbi, inilah yang akan saya bentangkan. Berikan kepada saya formula untuk Bersatu kekal dominan jika bersama PN seperti yang diuar-uarkan?

Berikan saya satu sahaja sebab kenapa Zahid Hamidi dan Najib Razak mahu memberikan peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi calon Perdana Menteri sekali lagi?

*YB Dr Maszlee Malik*
*Ahli MPT Bersatu*

*=========================*

*" Kenyataan U ini I suka...."*,
*Otak U Boleh Pakai Juga Ya*.....๐Ÿฅฐ๐Ÿฅฐ๐Ÿ˜˜๐Ÿ˜˜๐Ÿคฃ๐Ÿคฃ

*Zamil Ibrahim*
Timbalan Presiden KPPUM
( Penyokong Tegar MN )

7 Julai 2020
KL

*#KPPUM*
*#MUAFAKAT NASIONAL*
*#TUKAR IC*