Wujud Jawatan Ketua Pembangkang Tidak Sesuai Sekarang - Tajol Rosli
IPOH, 12 Jun (Bernama) -- Cadangan kerajaan negeri Perak meminda perlembagaan negeri bagi mewujudkan jawatan rasmi ketua pembangkang dianggap tidak sesuai dalam masa semua pihak sekarang sedang berjimat menghadapi kenaikan harga barang, kata bekas menteri besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.
"Jika perkenalkan jawatan baru ini akan melibatkan perbelanjaan dan penyediaan pelbagai kemudahan," katanya ketika mengulas pengumuman kerajaan negeri Perak untuk membentangkan usul pindaan perlembagaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang bermula 24 Jun ini bagi mewujudkan jawatan berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam berkata kerajaan negeri mahu mewujudkan jawatan itu secara rasmi sebagai penghormatan dan pengiktirafan terhadap peranan dan kedudukan wakil pembangkang seperti yang dilakukan Dewan Rakyat.
Belum ada mana-mana negeri yang mewujudkan jawatan ketua pembangkang secara rasmi dalam Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Tajol Rosli merupakan calon utama yang disebut-sebut akan terpilih sebagai ketua pembangkang dalam sidang DUN Perak kali ini.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) di sini, Tajol Rosli yang juga Pengerusi BN Perak berkata cadangan berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat itu tetapi tiada keputusan dibuat sama ada wakil BN akan menyokong atau tidak usul itu apabila dibentangkan kelak.
Mengenai kenyataan Mohammad Nizar yang kecewa dengan sikap beliau kerana sehingga kini masih belum menyerahkan tugasnya secara rasmi, Tajol Rosli berkata beliau telah menandatangani surat penyerahan tugas secara rasmi dan semua surat lain yang diperlukan.
Katanya beliau tidak bersedia menerima jemputan mengadakan penyerahan rasmi kerana ia dibuat agak lama selepas Menteri Besar baru mengambil alih tugas.
Mengenai mesyuarat berkenaan, Tajol Rosli yang juga Adun Pengkalan Hulu berkata semua 28 Adun BN akan mengadakan mesyuarat setiap Khamis dan mesyuarat kali ini memfokuskan kepada persiapan menghadapi sidang DUN.
-- BERNAMA
Komen: Pakatan Rakyat Perak ingin mewujudkan jawatan ketua pembangkang adalah satu idea jangka panjang. Mereka memandang jauh ke hadapan demi kebaikan masa depan mereka.
Apabila Dato Seri Tajol Rosli menolak cadangan tersebut dan ini memberi tamparan hebat kepada mereka. Mereka menyangka Tajol akan gembira dan akan menerima jawatan tersebut.
Pada hakikatnya jawatan tersebut adalah untuk mereka bukan untuk Tajol Rosli. Mereka dah baca jika mereka kalah dalam PRU13 dan jawatan itu akan menjadi milik mereka. Tetapi mereka mesti bermain pedang dahulu untuk memakai selepang ketua pembangkang Perak.
Dengan wujudnya jawatan tersebut peruntukan besar akan disediakan untuk mereka, pelbagai elaun akan dinikmati mereka.
Cadangan Pakatan Rakyat Nampak bagus, sudah tentu puak-puak otodok Pas akan memuji cadangan ini. Cadangan ini seolahlah “tunjuk lurus, kelingking berkait” mungkin Karam Sigh akan berkata begini jika dia mengulas di tv3