Selasa, 17 Jun 2008

Kerajaan Negeri Selangor Perlu Konsisten Dalam Menunaikan Janji-janjinya

Oleh Zailan Mohamad

SUNGAI BULOH - Kerajaan negeri Selangor pimpinan parti campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (Pas) diharapkan akan lebih konsisten dalam membuat keputusan atau mengeluarkan kenyataan yang tidak mengelirukan rakyat.

“Lakukan perkara yang boleh menguntungkan dan memberi manfaat kepada rakyat,” Kata Datuk Muhammad Bushro Mat Johor, Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) kawasan Paya Jaras, Selangor.

Di samping itu beliau turut mengatakan walaupun Barisan Nasional (BN) kini menjadi pembangkang di negeri Selangor, namun Kerajaan BN Pusat tidak akan mengabaikan mana-mana kawasan yang dimenangi oleh BN malah akan membantu sedaya yang mungkin bagi memberi yang terbaik kepada rakyat.

“Saya harap penduduk tidak perlu bimbang mereka akan dipinggirkan memandangkan kerajaan pusat telah memberi peruntukkan yang besar bagi membantu penduduk di bawah pentadbirannya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia menambah, sejak menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut hampir dua penggal ini, pembangunan infrastruktur untuk kemudahan penduduk dan membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama beliau.

Kata beliau lagi, pada bulan November tahun lalu, sebanyak lima buah rumah PPRT bernilai RM20,000 setiap satu telah dibina di kawasan itu, sekaligus memberikan keselesaan kepada penerimanya.

Peruntukan daripada kerajaan pusat sebanyak RM200,000 setahun diberikan kepada setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang menang pada pilihan raya umum lepas bagi melaksanakan program berbentuk mesra rakyat dan menambah baik infrastruktur.

“Saya bersama kerajaan pusat akan memastikan bahawa pembangunan dan infrastruktur di Paya Jaras dapat diteruskan seperti biasa demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau juga mengharapkan kerjasama daripada kerajaan parti campuran PKR, DAP dan Pas untuk membangunkan kawasan-kawasan Paya Jaras ini.

“Ini termasuklah pembangunan sekolah agama rakyat, masjid dan surau di bawah tanggungjawab mereka demi kepentingan dan keselesaan rakyat sebagaimana kepimpinan sebelum ini,” ujarnya lagi.

Selain itu, keutamaan juga diberikan dalam aspek pendidikan dan usaha tersebut masih diteruskan untuk anak-anak tempatan yang tidak berkemampuan mengikuti tuisyen di luar bagi meningkatkan mutu pembelajaran pelajar itu sendiri.