SEJAUH manakah pencapaian hubungan kaum di negara ini? Persoalan tersebut selalu bermain di minda Awang dan ramai lagi rakyat Malaysia.
Terus terang Awang katakan bahawa pencapaiannya tidak sehebat mana walaupun negara telah mencapai kemerdekaan lebih separuh abad.
Pada permukaannya nampak keharmonian kaum agak menarik tetapi pada akarnya ia belum kukuh malah berisiko.
Banyak petunjuk kebelakangan ini cukup membimbangkan. Daripada pandangan dan komen-komen yang menghina kaum secara berleluasa dalam laman web dan blog sehinggalah kepada keghairahan mencabar kontrak sosial, bahkan kedaulatan raja.
Bukanlah Awang mahu memberi gambaran suram terhadap masa depan hubungan kaum di negara ini tetapi ia menuntut renungan semua pihak.
Lebih-lebih lagi tanggal hari ini adalah 13 Mei. Lupakah kita tentang peristiwa hitam 13 Mei 1969?
Apakah kita mahu mengambil mudah seolah-olah tidak akan berulangnya pergaduhan kaum? Maka hargailah keharmonian yang ada ini sebelum semuanya dirampas dan lenyap begitu sahaja.
Awang – Ambil iktibar 13 Mei.