Isnin, 29 September 2008
Isu kuil timbul lagi
SHAH ALAM 29 Sept. – Kira-kira 300 anggota MIC dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengadakan perhimpunan aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini bagi membantah tindakan kerajaan negeri merobohkan Kuil Sri Mahakaliaman di Ampang pada 19 September lalu.
Kumpulan itu yang diketuai Ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkumpul kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum berarak sambil memegang sepanduk dan berhimpun di depan bangunan SUK yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pada beberapa sepanduk itu tertera perkataan ‘Pandai Konfius Rakyat (PKR)’, ‘Masyarakat India kena tipu’ dan ‘Anwar pembelot’.
Perhimpunan itu berakhir kira-kira pukul 12 tengah hari selepas Mohan menyerahkan memorandum bantahan berhubung perkara itu kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk disampaikan kepada Abdul Khalid.
Sementara itu, T. Mohan berkata, Pemuda MIC tidak menolak kemungkinan ada lagi kuil Hindu di Selangor akan dirobohkan oleh kerajaan campuran Selangor berikutan laporan yang diperoleh memaklumkan terdapat kuil lain di negeri itu telah diarah berpindah oleh pihak berkuasa tempatan.
Katanya, beliau bimbang tindakan merobohkan sebuah kuil di Ampang baru-baru ini akan berulang kerana kaedah yang diguna pakai oleh kerajaan negeri dalam mentadbir rumah ibadat tidak menjamin perkara seperti itu tidak berlaku lagi.
Menurutnya, sehingga hari ini, masih tiada laporan tepat dikeluarkan oleh kerajaan campuran Selangor berhubung kejadian itu.
‘‘Mungkin ada, tidak mustahil ada lagi kuil Hindu akan dirobohkan oleh kerajaan campuran Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR).
‘‘Alasan saya adalah baru-baru ini di kawasan Petaling Jaya terdapat kuil yang disuruh berpindah,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Komen:
Bab kuil ini memang membosankan. Mereka buat kuil senyap-senyap, tak minta izin , tak hantar pelan bangunan. Tak kira tanah siapa, janji tanah kosong main pacak saja besi 3 cabang buat permulaan.
Lepas tu bila suasana aman dan tidak protes dari mana-mana pihak , saiz yang kecil tadi akan membesar sebesar-besarnya. Memang elok semua kuil di negara dinilai semula kepentingan. Ambil kira radius dan jumlah penduduk kaum yang mengamalkannya. Supaya bilangan kuil sesuai dengan nisbah jumlah penganutnya.