KUALA LUMPUR, 27 Sept (Hrkh) - Rakyat bimbang peralihan kuasa dari Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ubah seperti lari dari mulut harimau masuk ke lubuk buaya, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.
Iklan
"Najib bukan sekadar mewarisi indeks rasuah negara ini yang lebih buruk dari Israel, malah beliau masih tidak dilihat bersih dan terus dituduh antara penyumbang terbesar masalah rasuah di negara ini," katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2006 mendedahkan banyak perkara yang tidak kena dalam pengurusan perolehan enam buah kapal peronda (patrol vessel) Tentera Laut Diraja Malaysia, yang menimbulkan persepsi yang sangat buruk dan mencurigakan dari segi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.
"Banyak persoalan yang tidak dijawab sehingga hari ini dari segi penambahan kos sehingga RM1.4 bilion yang begitu mudah diluluskan sehingga nilai kontrak yang sepatutnya berjumlah RM5.35 bilion bertambah RM6.75 bilion.
"Tempahan yang belum disiapkan berjumlah RM2.214 bilion manakala jumlah yang diperlukan untuk menyiapkan tempahan yang belum disiapkan itu ialah RM2.214 bilion tanpa sedangkan wang yang berbaki pada kontraktor hanya RM832.92 juta. Akhirnya, dengan mudah wang sebesar RM1.4 bilion itu diluluskan," katanya.
Mahfuz juga membangkitkan Laporan Ketua Audit yang mendedahkan kehilangan baucar bayaran dan dokumen sokongan di Kementerian Pertahanan ketika Najib menjadi menterinya untuk 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta kepada kontraktor bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002.
Tiada jawapan memuaskan
"Saya hanya merujuk kepada Laporan Ketua Audit negara sahaja, belum lagi pelbagai persoalan yang berbangkit dan tidak dijawab dengan memuaskan mengenai pembelian Sukhoi dan Scorpene," katanya.
Rakyat, katanya, tidak boleh mengharap kan Abdullah yang mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan dari Najib dalam tukar suka sama suka baru-baru ini menyiasat dan membongkar kan perkara itu.
Jika Abdullah berbuat demikian, katanya, Najib yang mengambil alih jawatan Kementerian Kewangan dari Abdullah juga boleh menyiasat dan membongkar misteri kehilangan dokumen-dokumen berkaitan penggabungan ECM Libra and Avenue Capital Resources dari kementerian itu.
Dalam jawapan kepada seorang peguam mengenai dokumen-dokumen itu, Timbalan Peguam Cara Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Haini Hassan memberitahu, dokumen-dokumen tersebut "tidak terdapat dalam simpanan (possession), jagaan atau kawalan Kementerian Kewangan.
"Sebab itulah rakyat begitu bimbang berlakunya tragedi lari dari mulut harimau masuk lubuk buaya," kata Mahfuz.
Lebih buruk dari Israel
Dengan imej sedemikian, beliau tidak yakin Najib boleh berbuat untuk memulihkan imej negara yang begitu tercemar akibat pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.
"Apabila negara kita merudum lagi dan lebih buruk dari Israel dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah Transparency International baru-baru ini, pemerintahan yang diterajui umat Islam di negara ini dilihat lebih jahat dari Israel dalam soal rasuah. Ia amat memalukan umat Islam.
"Kita pula tidak akan mampu menjawabnya kerana, antara lain, sudah tercatat pula secara rasmi dalam Laporan Ketua Audit Negara salah urus kewangan yang menimbulkan persepsi tentang penyelewengan yang begitu besar dalam Kementerian Pertahanan ketika Najib menjadi menterinya.
"Belum lagi disentuh isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pembelian Sukhoi dan Scorpene serta lain-lain. Saya tidak tahu bagaimana Najib boleh menebal kan mukanya melawat ke sana sini di luar negara dengan imej dan persepsi sedemikian ke atasnya.
"Saya tidak fikir pasaran, pelabur asing dan masyarakat antara bangsa akan yakin kepadanya," kata beliau.
Menurut Mahfuz, jika RM11bilion modal dalam negara dihebohkan keluar dalam masa 15 hari sahaja, bagaimana pasaran, pelabur asing dan masyarakat antara bangsa boleh menaruh keyakinan kepada Najib yang mengambil alih kepimpinan dengan "baggage" yang lebih buruk dari Abdullah ketika beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri 2003 lalu.
Inflasi terburuk
"Rakyat kini diganasi cengkaman inflasi tertinggi sejak 27 tahun lalu. Saya bimbang kepimpinan Najib akan memburukkan lagi keadaan," katanya.
Mahfuz berharap apa yang terjadi itu menyedarkan rakyat untuk menggunakan hak demokrasi mereka bagi memastikan peralihan kerajaan di negara ini.
"Peralihan kepimpinan Umno bukan sahaja tidak dilihat mampu menyumbang kan kebaikan malah mungkin akan memburukkan lagi keadaan dalam negara ini," katanya.
Peralihan kuasa: Lari dari mulut harimau ke lubuk buaya?
Abdul Aziz Mustafa
Sat | Sep 27, 08 | 2:42:56 pm MYT
KOMEN TM
Benarlah seperti yang disebut dahulu. Siapa
juga yang naik menjadi orang nombor 1 negara, mereka tidak akan lari
dari menjadi habuan sumpah seranah, maki hamun dan tohmahan. Sejak zaman
Tunku hinggalah ke zaman Pak Lah.
Hari
ini belum pun pegang jawatan, Najib telah dibantah. Mulai sekarang
Harakah akan membuka fail sulit mereka untuk mencari bahan-bahan lama
dan mengumpul bahan baru sebagai ramuan baru kerja yang terkutuk itu.