Tahniah atas kejayaan mengumpul dana untuk dihantar ke Palestine. Harap banyak lagi sumbangan akan menyusur selepas ini,
BANTU LAH PALESTINE UNTUK 100 TAHUN
Kuala Lumpur, 31 Jan (Bernama) -- Rayuan Dana Atas Nama Kemanusiaan bagi membantu meringankan beban dan penderitaan rakyat Palestin di wilayah Gaza akibat serangan tentera Israel, berjaya mengumpul sebanyak RM10.7 juta sejak ia dilancarkan 15 Jan lepas.
Penaung dana itu, Datin Seri Rosmah Mansor berkata semua kutipan dan sumbangan orang ramai, golongan korporat dan dermawan itu akan disalurkan kepada Wisma Putra untuk Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin.
"Kita berharap agar hasil usaha rayuan dana ini akan dapat diagihkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan juga badan-badan sukarela yang terlibat dalam usaha membantu mangsa-mangsa meringankan beban akibat peperangan," katanya ketika berucap pada Majlis Malam Amal Atas Nama Kemanusiaan di Istana Budaya di sini malam ini.
Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Duta Besar Palestin ke Malaysia Abdelaziz Aboughosh.
Rosmah berkata pihaknya turut merancang untuk melaksanakan projek-projek bantuan khas yang bersesuaian di Gaza apabila tiba masanya nanti.
"Khususnya supaya kita dapat membantu membina semula hospital-hospital dan sekolah-sekolah yang telah musnah dibom semasa berlakunya peperangan. Kita ingin lihat anak-anak bangsa Palestin yang tidak berdosa itu terus dibela dan berpeluang untuk kembali bersekolah seperti biasa," katanya.
Beliau berkata rakyat negara ini tidak seharusnya hanya bersimpati terhadap penderitaan yang dialami rakyat Palestin tetapi turut berusaha untuk berbuat sesuatu bagi meringankan bebanan mereka.
-- BERNAMA