Isnin, 23 Februari 2009

Perpaduan Kunci Kemerdekaan Sabah

Oleh Norwawi Kata

KOTA BELUD, 26 Ogos (Bernama) -- Generasi muda mungkin tidak menyedari bahawa Datuk Ismail Gimbad, 70, bukan calang-calang orang di Kota Belud.

Beliau merupakan antara yang terawal terbabit dalam membuka lembaran baru bagi Sabah bersama tokoh-tokoh seperti Tun Fuad Donald Stephens, Tun Datu Mustapa dan Datuk Harris Salleh.

Ismail, yang dikenali mesra dengan gelaran "Kuantung" dalam kalangan rakan-rakannya, merupakan antara yang terbabit dalam gerakan memerdekakan Sabah melalui saluran politik pada awal 1960-an.

Bagaimanapun, ia merupakan permulaan sukar memandangkan perpecahan dalam kalangan pemimpin tempatan mengenai erti ideologi politik dan kesetiaan.

Bagi Ismail, Sabah tidak akan mencapai kemerdekaan selagi tiada perpaduan dalam kalangan penduduk dan pemimpinnya.

Lagipun, Suruhanjaya Siasatan Cobbold memerlukan muafakat daripada penduduk Sabah sebagai prasyarat jika mahu gagasan Persekutuan Malaysia menjadi kenyataan dan membuka laluan bagi pemerintahan sendiri.

PERPADUAN TERCAPAI

Mengimbas kembali pembabitan beliau dalam memperjuangkan kemerdekaan, Ismail berkata pada 1960 beliau menyertai Persatuan Kadazandusun yang diasaskan oleh Tun Fuad, Huguan Siou (pemimpin agung) masyarakat Kadazandusun Murut.

Pada tahun berikutnya Tun Fuad mewujudkan Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (Unko) dan Datuk Peter Mojuntin menjadi setiausahanya.

Ia merupakan bibit-bibit permulaan politik serius di Sabah dan gelombang politik yang melanda negeri ini menyebabkan Ismail turut bergiat aktif dalam politik, bermula dengan keanggotaan di dalam Unko.

Ironinya, pada tahun berikutnya satu lagi parti Kadazandusun Murut muncul menyaingi Unko, Pertubuhan Pasok Momogun Bersatu (Pasok Momogun), yang diasaskan oleh Orang Kaya-kaya G.S.Sundang.

Ismail menjelaskan bahawa penubuhan kedua-dua parti politik itu adalah reaksi terhadap "Projek Malaysia" yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Malaya ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj untuk membawa kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak di bawah gagasan persekutuan Malaysia.

Kedua-dua parti politik Kadazandusun Murut itu, bagaimanapun, tidak sehaluan tetapi dengan usaha orang kuat parti, perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak dapat diketepikan, sekurang-kurangnya buat seketika.

Turut memperjuangkan kemerdekaan Sabah ialah Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang ditubuhkan oleh Tun Mustapa.

"Apabila para pemimpin dan rakyat mencapai muafakat, Sabah merdeka daripada penjajahan British melalui persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963.

"Pada masa itu, kebanyakan penduduk Sabah mahukan kemerdekaan dan pemerintahan anak watan. Oleh itu, kami mengetepikan perbezaan fahaman politik untuk meminta kemerdekaan dengan satu suara," katanya.

PERANAN ISMAIL

Ismail menceritakan bahawa sebagai anggota Pemuda Unko, beliau masuk ke kampung-kampung untuk menjelaskan sebab-sebab pentingnya Sabah mencapai kemerdekaan. Tugas memberi kefahaman kepada rakyat ketika itu dilaksanakan secara sukarela.

Usaha masuk ke kampung-kampung bukan mudah pada masa itu kerana mereka terpaksa berjalan kaki meredah hutan belantara dan naik bukit turun bukit untuk sampai ke tempat yang hendak dituju.

"Jika diceritakan keadaan ketika itu, generasi muda masa kini mungkin tak percaya.

"Walaupun tidak memegang jawatan tinggi parti ketika itu, tapi saya selalu ceritakan mengenai kebaikan mencapai kemerdekaan. Selain bertugas secara sukarela untuk memantapkan parti Unko, saya juga terlibat membantu Pemuda Usno. Perkara yang terlalu sukar dipercayai, tapi itulah kebenarannya. Saya sanggup mengetepikan perbezaan ideologi yang mungkin sukar dilaksanakan oleh para belia masa kini. Saya selalu duduk di kedai-kedai kopi dengan rakan-rakan Pemuda UNKO dan Usno untuk menyemarakkan semangat merdeka," katanya.

Ismail menjelaskan bahawa rakannya, Tun Said Keruak memainkan peranan penting bersama Tun Mustapha dan Tun Fuad dalam rundingan dengan pihak Inggeris ketika itu untuk mencapai kemerdekaan.

Sebelum itu mereka melawat ke seluruh pelusuk Sabah berjumpa dengan ketua-ketua kampung untuk berganding bahu dan bermuafakat mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada tahun 1963.

PERPADUAN SEMENTARA

Pada 1964, setahun selepas negeri ini mencapai kemerdekaan, semasa pilihan raya perbandaran, kedua-dua parti berkenaan tidak sehaluan dan mereka kembali memperjuangkan agenda masing-masing.

Akibatnya ialah perpecahan dalam kalangan masyarakat Kadazandusun Murut yang menyebabkan kedua-dua parti kehilangan banyak kerusi.

Ismail berkata menyedari kesilapan mereka, kedua-dua pihak memutuskan untuk mengenepikan perbezaan pendapat mereka itu buat selama-lamanya.

"Kepimpinan Kadazan pada masa itu mahukan perpaduan, oleh itu Unko dan Pasok Momogun digabung menjadi Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko)," katanya.

PASCA 16 SEPT 1963

Pada 1964, Ismail dilantik oleh Tun Fuad sebagai pegawai perhubungan Upko dengan elaun bulanan sebanyak RM100. Tidak lama kemudian, beliau ditawarkan tempat di Victoria University di Wellington, New Zealand dan keluar dengan diploma dalam kajian kepimpinan.

Pada 1967, beliau dicalonkan oleh Tun Fuad untuk bertanding di Surob atas tiket Upko menentang calon Usno, Bonian Noyo. Ismail menang besar tetapi Upko kehilangan tampuk pemerintahan kerajaan negeri kepada Usno.

Sekali lagi, demi perpaduan, Upko dibubarkan pada 1969 dan kesemua pemimpin dan anggotanya, termasuk Ismail, menyertai Usno.

"Pada masa itu, pemimpin dan penduduk mahu menyaksikan pembangunan di Sabah dan ini hanya boleh berlaku apabila pemimpin dan rakyat bersatu hati.

Pada 1969, beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri Pertanian Perikanan Sabah Datuk Said Keruak. Ia merupakan detik perubahan penting bagi Ismail, memandangkan beliau mempunyai pendapat yang sama dengan Said Keruak dalam membawa pembangunan kepada penduduk di kawasan luar bandar yang merupakan sebahagian besar Sabah.

"Di bawah kepimpinan Usno, saya dan Datuk Said Keruak berusaha gigih untuk membawa pembangunan kepada rakyat, khasnya di Kota Belud. Sekolah Pertanian Timbang Manggaris dan Skim Jawi-Jawi membuktikan hakikat ini.

"Tidak lama kemudian, Lembaga Padi Sabah diwujudkan untuk meningkatkan output pertanian dan taraf hidup penduduknya," kata beliau.

Pada 1972, Ismail dilantik sebagai Pembantu Menteri Kebajikan Masyarakat dan Kewangan Negeri dan semasa tempoh jawatan itu beliau turun padang untuk membantu menyelesaikan banyak masalah rakyat.

Sebagai mengiktiraf sumbangannya kepada Sabah, pada 1973 beliau menerima pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Ismail menamatkan kerjaya politiknya pada 1976. Bagaimanapun, beliau masih menyumbangkan idea dan khidmat kepada penduduk Kota Belud.

NASIHAT KEPADA GENERASI BARU

Ismail berharap penduduk Sabah akan berusaha gigih untuk memulihara perpaduan demi kesejahteraan mereka.

Ahli politik di negeri ini banyak belajar daripada pengalaman lampau akan akibatnya apabila perpaduan terjejas, katanya.

Ismail turut mengingatkan penduduk Sabah supaya menghargai sejarah kemerdekaan dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu.

"Apa yang lebih penting ialah generasi muda perlu membebaskan minda mereka daripada pengaruh negatif," katanya.

-- BERNAMA