Tatkala seluruh negara sedang bersiap sedia untuk meraikan sambutan 50 tahun kemerdekaan negara, Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Sabah seolah-olah `mencabar’ dan tidak mengiktiraf kemerdekaan negara apabila akan merayakan sambutan 44 tahun Malaysia dan 44 tahun kemerdekaan Sabah.
Sebelum ini tidak pernah timbul cerita kemerdekaan Sabah kerana Malaysia adalah negara persekutuan tetapi itulah hasrat yang telah disuarakan oleh Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffery Kitingan.
Dr. Jeffery berkata langkah parti itu membuat sambutan berkenaan kerana mendakwa kerajaan tidak memberikan tumpuan kepada pembentukan Malaysia.
“Kerajaan hanya memberi tumpuan kepada kemerdekaan Malaya berbanding dengan pembentukan Malaysia dan dengan itu mengabaikan sejarah dan perasaan orang Sabah dan Sarawak,” katanya seperti dipetik oleh akhbar Daily Express Sabah.
Jeffery Kitingan semasa bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana idea dan usahanya yang dikatakan cuba untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia.
Sejak daripada melibatkan diri dalam politik, Jeffrey sering memainkan isu-isu sensitif khususnya yang berkaitan dengan Perjanjian 20 Perkara.
Menurut Dr. Jeffrey, sehari sebelum sambutan 44 tahun Sabah merdeka, parti itu akan mengadakan forum pembentukan Malaysia dan kemerdekaan Sabah.
|Manakala pada 31 Ogos, PKR Sabah akan melawat “Batu Sumpah” sebagai tanda memperingati Perjanjian 20 Perkara. – 29/8/2007