Nizar mohon menghadap Sultan Perak
|
|
IPOH 8 Mac - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin akan menghantar surat bagi mohon menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada Selasa ini.
Menurutnya, tujuannya adalah untuk mempersembahkan tiga usul yang diputuskan semasa sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di bawah pokok pada 3 Mac lalu.
''Saya akan mohon menghadap untuk mempersembahkan keputusan persidangan DUN sebaik sahaja mendapat perkenan daripada Sultan Perak," katanya pada sidang akhbar di Pejabat DAP Perak di sini hari ini.
Terdahulu Mohammad Nizar bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Speaker DUN Perak, V. Sivakumar; Ahli Parlimen Ipoh Barat, S. Kulasegaran serta wakil rakyat pakatan pembangkang menyertai upacara meletakkan tanda peringatan dan menanam pokok di Lebuh Istana di sini.
Pada Selasa lalu, pakatan pembangkang DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersidang di bawah pokok, kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Tiga usul yang dibentang dan diluluskan itu ialah:
- Menyatakan sokongan kepada Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah;
- Mencadangkan supaya Sultan Perak memperkenankan DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dan
- Pengesahan keputusan Speaker melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, peletakan batu tanda di bawah pokok dan menanam lima batang pokok lain adalah sebagai memperingati peristiwa yang berlaku pada hari tersebut.