Ahad, 29 Mac 2009

DAP berlakon sokong PAS

Pakatan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan PAS yang pada mulanya bersetuju menubuhkan kerajaan campuran di Perak, kelihatan sudah mula retak.

Semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak diarahkan supaya tidak menghadiri majlis angkat sumpah Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang baru, yang dijadualkan berlangsung di Istana Iskandariah esok.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan untuk melantik ADUN Pasir Panjang itu sebagai Menteri Besar Perak, amat mengejutkan dan membingungkan pemimpin-pemimpin DAP.

"Memandangkan pelantikan Mohamad Nizar sebagai Menteri Besar Perak itu mewakili parti politik yang ketiga yang paling kecil dalam kerajaan campuran yang dicadangkan, ia tidak mendapat mandat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC)," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu wakil rakyat DAP Perak tidak akan menghadiri majlis mengangkat sumpah Menteri Besar yang dijadualkan esok.

"Mesyuarat tergempar CEC yang diadakan di Pulau Pinang Ahad lepas sudah memberikan kebenaran untuk pembentukan sebuah kerajaan campuran Perak yang mengandungi 18 wakil rakyat DAP, tujuh wakil rakyat PKR dan enam wakil rakyat PAS," katanya.

Lim, yang merupakan Anggota Parlimen Ipoh Timur berkata DAP bersedia menerima Pengerusi DAP Negeri dan ADUN Sitiawan Ngeh Koo Ham, atau ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dari PKR sebagai Menteri Besar Perak.