IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menasihatkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya bercakap berpandukan ilmunya sebagai Tok Guru, bukan mengikut emosi dan nafsu.
Zambry ketika diminta mengulas pelawaan Mursyidul Am Pas itu supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdebat secara terbuka untuk menyelesaikan kemelut politik yang berlaku antara Pas dan UMNO, juga berpendapat itu bukan jalan penyelesaian terbaik.
Beliau berkata, tidak perlu diadakan debat terbuka untuk menyelesaikan masalah sebaliknya perbincangan saja sudah memadai.
“Sebenarnya isu debat ini perlu difikirkan semasak-masaknya.
“Debat juga bukan jalan penyelesainya terakhir dan saya sangat pasti Nik Aziz juga tahu mengenainya cuma dia tetap berfikir seperti ahli politik yang lain juga,” katanya selepas menghadiri majlis Penyampaian Dermasiswa Pendidikan Negeri Perak kepada 400 pelajar di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkor itu juga berkata, debat terbuka tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak, sebaliknya membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Saya tidak fikir Perdana Menteri tidak mampu untuk berdebat dengan Nik Aziz cuma beliau berfikir mengenai kesan akibat dari debat ini kepada masyarakat,” katanya.