Rabu, 26 Ogos 2009

Desak gantung tugas Presiden MCA

IPOH 25 Ogos – Lima bahagian MCA di Perak mendesak Jawatankuasa Disiplin MCA menggantung tugas Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Kiat serta merta.

Ia ekoran dakwaan bahawa beliau menerima sumbangan peribadi sebanyak RM10 juta daripada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB).

Bahagian-bahagian MCA terbabit adalah Batu Gajah, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Tambun dan Bagan Datoh.

Timbalan Ketua MCA Bahagian Batu Gajah, Datuk Lee Kon Yin yang mewakili mereka berkata, penggantungan tugas Tee Keat selaku Presiden MCA amat penting bagi memastikan beliau tidak campur tangan atau menyalahgunakan kuasa dalam isu tersebut.

‘‘Jawatankuasa Disiplin MCA perlu menggantung tugas Tee Keat kerana hubungan peribadinya sama sekali berasingan dengan urusan parti.

‘‘Jadi, langkah itu dapat menghindarkan beliau daripada menggunakan nama parti demi kepentingan atau agenda peribadinya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Tee Keat memfailkan saman sebanyak RM500 juta ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi, Datuk Seri Tiong King Sing kerana memfitnahnya.

Ia ekoran dakwaan tidak berasas dan fitnah yang dilakukan King Sing bahawa Tee Keat menerima sumbangan sebanyak RM10 juta bagi aktiviti MCA.

King Sing membuat dakwaan itu ekoran pendedahan yang sedang dilakukan Tee Keat berhubung kemelut Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menurut Kon Yin, penggantungan tugas Tee Keat juga akan mengelakkan nama parti itu secara langsung atau tidak langsung dicemari ekoran skandal tersebut.

Katanya, pada masa sama, jawatankuasa disiplin parti turut diminta mengadakan inkues bagi mencari kebenaran tentang apa yang didakwa ke atas Tee Keat demi kepentingan, imej dan integriti parti.

TM setuju dan biarlah Umno memangku seketika jawatan Presiden Mca seperti mana yang pernah berlaku dahulu.