Ahad, 9 Ogos 2009

Pembangkang tak mampu bela rakyat


TAIPING 8 Ogos - Pertelingkahan berterusan dalam pakatan pembangkang yang berlaku di Pulau Pinang, Kedah dan terbaru di Selangor jelas menunjukkan mereka tidak berupaya membela nasib rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keadaan tersebut memang sudah dijangka kerana DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas mempunyai perbezaan fahaman yang cukup ketara.

''Kita memang sudah menjangka bahawa pakatan ini bukan satu pakatan kukuh yang rakyat boleh berpaut dan berpegang untuk menjamin kesejahteraan mereka mendapat pembelaan.

''Kita yakin pakatan ini tidak boleh bertahan dalam keadaan yang kita lihat hari ini, bukan hanya di Selangor dan Kedah, tetapi di Pulau Pinang, mereka mempunyai masalah dengan masyarakat India," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Taiping di Kompleks Rakan Muda Kamunting dekat sini hari ini.

Beliau mengulas perbalahan yang berlaku antara Pas dan DAP di Selangor ekoran isu penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Islam.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pertelingkahan berterusan dalam pakatan pembangkang itu hanya akan menjejaskan tumpuan mereka membela kebajikan rakyat.

''Apa yang berlaku bukan memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) atau UMNO. Kita tahu apa yang harus dilakukan ialah teruskan pembelaan kepada rakyat, bukannya pertelingkahan," ujarnya.

Mengulas tindakan kerajaan Selangor membenarkan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Islam, beliau berkata, pihaknya mahu melihat bagaimana Pas menjelaskan isu itu semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

''Kita tahu Pas perjuangkan hukum hudud dan mahu arak diharamkan, tetapi kita tidak tahu mereka mampu menidakkan dengan cara pakatan yang ada, yang satu hendak haramkan dan satu lagi hendak halalkan.

''Kita tunggu di Permatang Pasir macam mana Pas hendak jelaskan keadaan ini, yang itu dikatakan halal dan yang ini dikatakan haram," katanya.

Menurut Mohd. Shafie, BN selaku pentadbir negara sentiasa menekankan budaya hormat menghormati seperti pembinaan masjid di kawasan majoriti penduduk Islam dan menegaskan supaya hotel menyediakan makanan halal.

Katanya, kalau ada pun minuman keras, ia dikhususkan kepada bukan Islam dan pelancong.

''Ini selaras dengan perjuangan kita, jangan hanya pandai baca dan sebut ayat al-Quran, bukan Islam pun sebut, tetapi dari segi pelaksanaan tidak dikotakan," katanya.