Murugiah yang dipecat dari PPP pada Mei lepas berkata surat rayuan berkenaan dihantar pada 15 Oktober selepas menerima surat dari ROS supaya beliau mengemukakan rayuan berhubung mesyuarat berkenaan.
"Saya bersama enam anggota PPP yang dipecat tanpa sebab ini telahpun menghantar surat rayuan kerana yakin kami masih ahli parti, sementara menunggu keputusan dari ROS saya akan meneruskan tugas sebagai Presiden parti...kesemua 57,000 penyokong saya akan menggunakan platform PPP sehingga menunggu keputusan rayuan tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bagaimanapun, Murugiah berkata beliau hairan kerana surat ROS bertarikh 26 Ogos 2009 yang meminta beliau mengemukakan rayuan berhubung EGM berkenaan begitu lewat diterima.
"Saya hairan mengapa surat yang ditandatangani Ketua Pengarah ROS itu lewat sampai," katanya.
Murugiah berkata beliau telah berbincang dengan peguamnya selepas menerima surat itu dan menghantar rayuannya kepada ROS selepas itu.
"Mungkin ROS sudah lihat ada unsur-unsur yang boleh membantu saya maka mereka telah meminta saya supaya membuat rayuan dan saya telahpun membuat rayuan...yang lain tindakan susulan itu akan saya umumkan kemudian," katanya.
Lembaga Disiplin PPP pada Mei lepas memecat Murugiah kerana menggunakan pejabatnya, iaitu pejabat Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, untuk mengadakan satu persidangan akhbar yang mencemar nama baik parti dan membuat kenyataan yang bersifat fitnah terhadap parti dan kepimpinan parti.
Isu status Murugiah atau Datuk M. Kayveas sebagai Presiden PPP selesai Ogos lepas selepas siasatan ROS mengesahkan Kayveas sebagai presiden PPP.
Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein yang menyatakan pengesahan itu adalah berdasarkan pemilihan Anggota Majlis Tertinggi sesi 2005/2010 di dalam perhimpunan Agung PPP pada 2 Okt 2005.
Berikutan itu, pelantikan Murugiah sebagai Presiden PPP melalui Mesyuarat Agung Khas pada 24 Mei lepas tidak boleh diterima kerana tidak mematuhi Perlembagaan Parti.