KUALA LUMPUR 23 Okt. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan sebagai 'parti bateri bersaiz 3A' yang kekuatannya hanya ditentukan oleh Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Naib Presiden, Azmin Ali.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, oleh itu, PKR akan hanya mampu bertahan sehingga salah seorang daripada A (Anwar, Azizah dan Azmin) kecundang atau bersara dari arena politik.
''Awak tengoklah sendiri, Anwar yang melantik Azmin sebagai Pengerusi PKR Sabah baru-baru ini, tetapi setelah ditentang, Azizah yang perlu menggugurkan Azmin daripada jawatan itu, bukannya Anwar.
''Apa ini? Siapa Penasihat PKR, yang mana satu Presiden dan apa peranan Azmin sebagai Naib Presiden?'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas krisis kepimpinan dalam PKR Sabah apabila pelantikan Azmin ditentang oleh 18 daripada 23 ketua bahagian di negeri berkenaan.
Sebelum itu, beberapa laman web melaporkan Anwar melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim untuk mengetuai PKR Sabah tetapi pelantikan itu ditentang oleh Azmin.
Isnin lalu pula, Anwar menafikan wujud krisis dalaman PKR Sabah manakala Zaid mengakuinya.
Dalam laporan Utusan Malaysia pada 19 Oktober lalu, bekas rakan baik Anwar, Datuk S. Nallakarupan menggambarkan Azmin sebagai seorang yang istimewa kepada Anwar.
Abdul Latiff menambah, sesebuah parti politik sepatutnya mempunyai institusi pentadbiran yang kukuh dan teratur demi memastikan ia mengamalkan sistem demokrasi.
Namun katanya, PKR tidak mengamalkan sistem tersebut kerana perjalanannya diatur oleh tiga pemimpin itu dengan melihat terdapat pertindihan tugas di antara Wan Azizah dan Anwar.
Tegas beliau, PKR akan 'kehabisan bateri' tidak lama lagi kerana ia dibentuk demi kelangsungan politik Anwar, namun sekarang ia tidak lagi mempunyai arah tuju yang jelas.
''Zaid pula sebelum ini bertindak meninggalkan UMNO atas alasan tidak diberi peluang bersuara, namun saya tidak pula dengar suaranya berdegar-degar dari PKR kebelakangan ini," ujarnya.