Para penyokong PAS sudah tentu berasa bangga kerana ketika berlangsungnya konvensyen pakatan pembangkang pada 19 Disember lalu, mereka menyaksikan bagaimana Pengerusi DAP, Karpal Singh duduk di sebelah dua tok guru mereka iaitu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Malah mereka juga mungkin berasa seronok apabila Nik Abdul Aziz menyatakan bahawa "di dada Karpal ada bulan.''
Sebenarnya tidak salah untuk mereka mempunyai perasaan sedemikian kerana Karpal yang dikenali sebagai penentang kuat penubuhan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS mampu duduk sebaris dengan Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz.
Tetapi mereka perlu fikirkan semula. Adakah detik yang dianggap bersejarah itu, Karpal mengambil kesempatan memohon maaf kepada Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz berhubung kenyataannya sebelum ini berkaitan penubuhan negara Islam?
Karpal tidak berbuat demikian. Walaupun ada pemimpin PAS menganggap ia saat terbaik untuk pemimpin DAP menghapuskan kesangsian di kalangan penyokong PAS mengenai parti itu.
Bagaimanapun, detik berkenaan sudah berlalu. Tetapi persoalan yang bermain di fikiran ahli-ahli Pas ialah apakah DAP benarbenar ikhlas dalam menjalin hubungan dengan Pas? Atau terdapat agenda tersembunyi di sebalik kerjasama itu?
Apa yang lebih merisaukan sesetengah penyokong Pas ialah adakah konvensyen itu membuka ruang yang lebih luas kepada pihak-pihak tertentu untuk terus mengganggu-gugat hak-hak dan kedudukan orang Melayu dan agama Islam.
Sebenarnya, konvensyen berkenaan tidak memberi manfaat kepada orang Melayu dan Islam. Sebaliknya ia hanya mendedahkan kepada lebih banyak tuntutan berdasarkan kepada perjuangan kesamarataan.
"Inilah yang perlu disedari oleh orang Melayu yang menghadiri konvensyen berkenaan. Tetapi saya lihat seolah-olah tidak ada kebimbangan di kalangan peserta yang hadir.
"Mereka bangga kerana Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencapai kata sepakat untuk berjuang dalam pilihan raya. Tetapi mereka tidak lihat kesan bagi jangka masa panjang,'' kata seorang pemimpin muda Pas yang turut menjadi peserta konvensyen berkenaan.
Beliau berkata, apa yang dicapai dalam konvensyen tersebut dengan jelas menunjukkan sikap mengalah orang Melayu semata-mata untuk mendapat kuasa politik.
"Sebab itulah kalau kita lihat banyak resolusi yang dicapai pada konvensyen itu boleh memberi kesan kepada kedudukan orang Melayu dan umat Islam dalam jangka panjang,'' katanya yang menghubungi penulis kelmarin.
Sememangnya itulah perkara yang perlu difikirkan oleh orang Melayu Pas.
Mereka tidak harus terlalu teruja mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) atau meranapkan penguasaan UMNO sehingga sanggup mengenepikan kepentingan dan hak-hak orang Melayu.
Slogan kononnya mahu menghapuskan agenda pembangunan bangsa daripada fahaman perkauman sempit hanyalah mainan PKR dan DAP dalam usaha mereka untuk memperolehi kuasa politik.
Apakah selama ini PKR dan DAP tidak mengamalkan politik perkauman sehingga melihat seolah-olah politik seumpama itu hanya dimainkan oleh BN dan UMNO?
Apa yang berlaku di Selangor dan di Perak ketika pakatan pembangkang memerintah sudah menjadi bukti bagaimana politik perkauman menjadi senjata utama kepada PKR dan DAP bagi meraih sokongan.
Atas sebab itulah, keterujaan penyokongpenyokong Pas menerima apa yang disepakati dalam konvensyen berkenaan haruslah terhad dan bukannya membuta tuli.
Dalam suasana politik sekarang, pelbagai helah boleh dilakukan bagi menghakis satu demi satu hak Melayu dan umat Islam.
Kalau dikaji resolusi yang dicapai dalam konvensyen tersebut, ia tidak ubah hanyalah nyanyian lagu lama oleh pembangkang kerana apa yang mereka perkatakan sudah dan senang dilaksanakan oleh kerajaan.
Tetapi PKR dan DAP tidak akan mengakui seumpama itu, sebaliknya akan terus berusaha untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya masih terdapat seribu satu kepincangan dalam pentadbiran negara.
Dalam kita memperkatakan soal dakwaan pembangkang itu, tidak perlulah kita mengambil contoh lebih banyak lihat sahaja resolusi berkaitan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) serta desakan supaya sistem pilihan raya negara ini lebih bersih, bebas dan adil.
Walaupun kerajaan sudah menunjukkan ketelusan dengan mengubah Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM tetapi ia belum memuaskan hati mereka.
Begitu juga soal mewujudkan pilihan raya yang adil.
Kenapa baru sekarang mereka hendak memperkatakan soal itu sedangkan apabila mereka menawan empat negeri, mengekalkan kuasa di Kelantan dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen pada pilihan raya umum lalu tidak pula ia dibangkitkan?
Ini dengan jelas menunjukkan bahawa pakatan pembangkang cuba bermain politik apabila berusaha menguar-uarkan kepada rakyat kononnya pilihan raya umum nanti tidak akan telus. Kebimbangan itu dilahirkan kerana pembangkang semakin memahami bahawa sokongan rakyat kepada mereka semakin merosot.
Begitu juga apabila mereka memperkatakan soal badan kehakiman. Semuanya ada agenda bagi menunjukkan bahawa badan itu tidak telus.
Ini mungkin sebahagian persiapan dalam melancarkan propaganda menjelang perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu dakwaan meliwat pembantu peribadinya.
Sebenarnya konvensyen yang diadakan hanyalah mainan politik pakatan pembangkang yang semakin berasa kepanasan dengan corak pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebab itulah apabila beberapa media utama termasuk Utusan Malaysia tidak menyiarkan berita mengenai konvensyen berkenaan, ada pemimpin pembangkang yang marah kerana agenda propaganda mereka tersekat.
Sebenarnya, tiada apa yang menarik hendak dilaporkan selain daripada retorik berterusan pembangkang.
Selain itu ia juga mengenai bagaimana ada di kalangan pemimpin Melayu terutamanya dalam PKR bersedia mengalah asalkan mereka boleh meraih keuntungan politik.
Namun begitu apa yang diharapkan ialah penyokong-penyokong Pas terutamanya mereka yang menjadi peserta konvensyen tersebut memahami bahawa jika parti itu tidak berhati-hati, ia boleh terjerumus dalam perangkap politik PKR dan DAP.
Tidak salah untuk berbangga kononnya konvensyen berkenaan adalah sesuatu yang bersejarah memandangkan ia mampu mengumpulkan semua pemimpin pembangkang.
Tetapi jangan sampai kebanggaan itu akhirnya hanya mendatangkan kerugian kepada orang Melayu dan umat Islam di masa depan. Siapa yang akan rugi?