Khamis, 7 Januari 2010

DI INDIA ATAU DI MALAYSIA SAMA SAJA.

India hentikan bina kuil haram


KUIL Shiv Shakti Mochan di New Delhi yang dibina di tanah awam, terletak berhampiran Parlimen India. Kerajaan India telah mengharamkan pembinaan rumah ibadat yang dibina di tanah awam seumpamanya. – AFP


NEW DELHI 6 Jan. - Pradeep Fuloriya menunjukkan kesan tayar di satu lokasi di mana lima tahun sebelumnya, sebuah jentolak hampir berjaya merobohkan sebuah kuil Hindu bersebelahan jalan raya yang banyak pokok di tengah-tengah kota New Delhi.

"Bagaimanapun usaha itu gagal,'' kata Pradeep, seorang sami berusia 27 tahun ketika mengimbas kembali kejadian lima tahun lalu apabila penganut setia Hindu menghalang dan memaksa jentolak itu berundur daripada merobohkan Kuil Shiv Shakti Mochan.

Kuil haram yang dibina pada tahun 1968 di sekitar kawasan yang dikelilingi pokok ara itu, pada mulanya diperintah agar dirobohkan atas arahan kerajaan, namun selepas mendapat bantahan, ia dibiarkan kekal selagi ia tidak menceroboh lebih banyak ruang tanah awam.

"Kuil itu semakin diperluas sama seperti pokok yang kian tumbuh. Kami tidak dapat buat apa-apa,'' kata Pradeep.

Jentolak daripada majlis perbandaran kembali lagi ke tapak kuil tersebut Julai lalu, selepas satu khemah digunakan untuk membesarkan lagi kuil itu, dalam satu langkah yang disifatkan pihak berkuasa sebagai mengingkari akta pencerobohan.

Sekali lagi, penganut setia Hindu menggagalkan usaha merobohkannya selepas bertempur dengan semburan air oleh anggota polis.

Pertelingkahan berhubung kuil itu merupakan satu contoh pertikaian-pertikaian lain di India berkaitan penggunaan tanah awam untuk binaan rumah ibadat.

Kawasan taman-taman, jalan raya, stesen kereta api dan sekolah turut dibangunkan dengan rumah ibadat haram, dan kerajaan kini sedang mendesak undang-undang melalui mahkamah bagi menghentikan pencerobohan akan datang.

September lalu, Mahkamah Agung mengeluarkan amaran melarang pembinaan baru tempat-tempat pemujaan di tanah kerajaan selepas mendapat tekanan hebat daripada kerajaan.

"Penjenayah, kumpulan gengster dan anasir anti sosial mempergunakan sentimen agama rakyat bagi 'menggunakan' tanah awam melalui pembinaan rumah-rumah ibadat.

"Sebahagian besar tanah masih kekal dikategorikan sebagai diduduki secara haram,'' menurut kerajaan dalam satu petisyen kepada mahkamah.

Mahkamah itu mengarahkan 28 negeri di India supaya menghantar laporan bulanan berhubung pencerobohan baru, namun kebanyakan pentadbiran wilayah berkata, permintaan itu sukar dipenuhi.

Satu lagi kuil yang menimbulkan masalah di Delhi adalah satu tapak lama kuil yang menganggu pembinaan sistem pengangkutan kereta api pantas metro bandar itu.

"Struktur di daerah New Ashok Nagar itu telah ditinggalkan selama bertahun-tahun, namun jika kami cuba merobohkannya, beratus-ratus penganut Hindu akan tampil menghalangnya,'' kata seorang pegawai dari syarikat Delhi Metro.

Lapangan terbang utama bandar Kolkata mengendalikan lebih 320 penerbangan sehari, namun rancangannya untuk memperluas landasannya terganggu oleh sebuah masjid yang berusia 119 tahun.

Enam orang maut dalam rusuhan Hindu-Islam pada 2006 yang tercetus di barat bandar Baroda selepas jurutera majlis perbandaran di situ merobohkan dinding sebuah makam Islam.

Terdapat beratus-ratus ribu struktur agama di seluruh India dibina di tapak awam dan jurucakap majlis perbandaran Delhi mengakui usaha merobohkan binaan haram itu adalah satu cabaran sukar. - AFP