Isnin, 22 Februari 2010

Perak sedia RM2 juta setahun biayai program generasi muda


IPOH, Feb 21 — Bermula tahun ini kerajaan negeri Perak akan memperuntukkan RM2 juta setiap tahun bagi membiayai program mengupayakan generasi muda, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata peruntukan itu merupakan langkah kerajaan negeri untuk memberi perhatian khusus kepada golongan muda yang merupakan 60 peratus daripada komposisi penduduk negara ini.

”Ini merupakan pengiktirafan kepada golongan muda dan sejarah telah membuktikan negeri ini telah memberi penumpuan kepada usaha membentuk modal insan terbaik iaitu membentuk generasi muda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-15 Majlis Belia Negeri Perak, di sini hari ini.

Zambry berkata langkah itu juga meletakkan Perak sebagai negeri pertama yang menyediakan bajet khas untuk pembangunan dan pengupayaan generasi muda di negara ini.

Sementara itu diminta mengulas saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai pindaan perlembagaan Barisan Nasional (BN) bagi menarikpenyertaan badan bukan kerajaan, Zambry berkata perubahan itu perlu demi masadepan parti.

”Saya amat bersetuju kerana perubahan perlu dilakukan untuk masa depan BN...ini merupakan harapan baru kepada parti besar ini agar tetap kukuh,”  kata Zambry yang juga Pengerusi BN negeri.
Semalam, Najib berkata saranan pindaan perlembagaan BN itu bertujuan memantapkan parti di samping menjadikan parti BN lebih bersifat terbuka dan inklusif. — Bernama