Rabu, 17 Mac 2010

JATUHKAN HUKUMAN BERAT KEPADA MEREKA-BAYANGKAN JIKA KILANG DIBAKAR

Pemilik Kilang Berang Dan Kurung Anggota Penguatkuasa
REMBAU, 16 Mac (Bernama) -- Seorang pemilik kilang penyembelihan ayam di kawasan Taman Halal Pedas dekat sini bertindak mengurung 12 anggota penguatkuasa dan wakil media selama empat jam di premis itu semasa satu operasi hari Selasa.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu, sekumpulan enam anggota dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan enam daripada Kementerian perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membuat serbuan ke atas kilang itu.

Lima wakil media turut bersama dalam operasi itu untuk memeriksa kesahihan logo halal yang digunakan oleh kilang itu.

Bagaimanapun, salah seorang wartawan dalam kumpulan itu berjaya melepaskan diri lalu meminta bantuan polis.

Seramai 10 anggota polis dari Ibupejabat Balai Polis Daerah Rembau kemudian membebaskan kesemua yang terperangkap.

Ketika ditemui, Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Mohd Amri Abdullah, enggan mengulas mengenai tindakan lelaki Cina berusia awal 40an itu.



"Saya hanya boleh katakan, sijil halal milik kilang ini akan digantung sehingga siasatan selesai," katanya kepada pemberita selepas keluar dari kawasan kilang pada pukul 8 malam tadi.

Sementara itu, wakil media dari TV3, Shamsul Liani Abbas yang terperangkap di kilang itu memberitahu, beliau difahamkan pasukan JAKIM dan kementerian terbabit datang dari ibupejabat mereka di Putrajaya selepas menerima maklumat dari Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang, pasukan JAKIM telah menyerbu sebuah pasar raya di mana ia menjual ayam yang mempunyai sijil halal JAKIM tetapi sembelihannya diragui," katanya kepada Bernama.

Apabila berjaya mengesan alamat kilang penyembelihan pada bungkusan ayam terbabit, pasukan dari Putrajaya ini telah menyoal siasat pemilik kilang sebelum lelaki itu menjadi berang.