Isnin, 8 Mac 2010

KENAPA KAUM LAIN KETAR LUTUT BILA N.G.O MELAYU BERSATU?

KUALA LUMPUR, 7 Mac — Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang ditubuhkan minggu lalu dengan 86 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, tidak harus dilihat sebagai “kumpulan pendesak cauvanis.”

“Saya fikir adalah penting MPM tidak dilihat sebagai kumpulan pendesak cauvanis.

“Sebaliknya, ia harus dilihat sebagai sebuah pertubuhan nasionalis yang melihat isu-isu kebangsaan sebab kita tahu dan setiap orang harus memahami yang ini, apabila majoriti penduduk ketinggalan sudah tentu ia tidak baik untuk setiap orang,” kata beliau.

“Pada asasnya, ia selaras dengan Piagam PBB, piagam hak asasi manusia. Apa yang kita lakukan setakat ini diiktiraf sebagai satu dasar yang betul oleh UNDP, Bank Dunai dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia dan Dana Kewangan Antarabangsa,” kata beliau ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Meja Bulat Model Ekonomi Baru di sini hari ini.

Mukhriz merupakan timbalan menteri pertama yang menghadiri majlis MPM sejak ia dilancarkan minggu lalu.

Persidangan meja bulat itu dianjurkan oleh MPM.

Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) yang diketuai Mukhriz juga merupakan salah satu anggota MPM.

Ia merupakan gabungan kedua ditubuhkan oleh NGO Melayu selepas pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu bagi menjaga kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera.


Dua hari selepas MPM dilancarkan, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata beliau tidak menolak kemungkinan penubuhan MPM akan mengambil alih tugas dan peranan Umno dalam memperjuangkan kepentingan kaum majoriti itu di negara ini.

Khir berkata, keadaan itu boleh berlaku jika ada segelintir pemimpin Umno bersikap seperti “Malaysian Malaysia” ekoran terlalu banyak memenuhi tuntutan yang dibuat kaum lain.

Pada 27 Feb lalu, sebanyak 76 NGO melancarkan penubuhan MPM di Kelab Sultan Sulaiman di ibu negara, tapak yang pernah membawa kepada kelahiran Umno lebih enam dekad lalu bagi melindungi kepentingan orang Melayu dan beragama Islam di negara ini.

NGO yang turut menggerakan MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia dan Cuepacs.

Mengenai latar belakang penubuhannya, kenyataan akhbar yang dikeluarkan MPM minggu lalu menyebut “susulan beberapa perbincangan oleh beberapa pemimpin NGO Melayu, hasrat menubuhkan sebuah majlis perundingan untuk menggabungkan seberapa banyak NGO Melayu yang prihatin terhadap perkembangan terkini yang dihadapi oleh orang Melayu (muncul).”

“Semakin jelas nampaknya ‘tekanan’ (ke atas) hak dan keistimewaan orang Melayu di tanah air sendiri, terhadap kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini, kedudukan dan kedaulatan Kesultanan Melayu yang sering dipertikaikan, Dasar Ekonomi Baru yang nampaknya makin dipinggirkan sedangkan kemampuan orang Melayu mencapai matlamat DEB jauh tersasar serta isu keselamatan negara,” katanya.

Ini adalah antara beberapa isu “sensitive” orang Melayu yang kini semakin kerap menjadi bahan hasutan oleh mereka yang jelas ingin memporak-perandakkan keselamatan dan kesejahteraan negara ini, tambah kenyataan itu.

Hari ini Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas berkata pihaknya telah memperoleh 86 keanggotaan setakat pagi ini.

Kata beliau, hari ini MPM menubuhkan lima pasukan petugas iaitu berkaitan ekonomi, bahasa dan pendidikan, agama dan sosial, ekonomi dan perundangan.